
Ketua Pegawai Eksekutif Lotus, Feng Qingfeng secara terbuka menyatakan dalam satu acara media bahawa setiap kereta sport dengan berat melebihi 1.8 tan adalah sebuah jentera yang “biasa-biasa sahaja”.
Kenyataan tersebut tular di media sosial China memandangkan setiap kenderaan tenaga baharu (NEV) di bawah jenama berkenaan termasuk hypercar Lotus Evija mempunyai berat yang jauh melebihi 1.8 tan.
Feng Qingfeng berkata Lotus telah menetapkan tanda aras baharu bagi berat kenderaan sukan jenama itu yang mana perlu di bawah 1.8 tan.
Beliau menegaskan bahawa mana-mana kereta sukan yang melebihi berat berkenaan adalah produk yang biasa-biasa sahaja.
Pada masa sama, beliau menyatakan bahawa angka kuasa maksimum yang tinggi kini tidak lagi bernilai. Dalam era elektrifikasi, kuasa kuda sangat mudah diperoleh, namun ia sering kali menyebabkan pengendalian kereta menjadi kurang mantap.

Feng Qingfeng berkongsi bahawa sebuah kereta dengan 2,000hp sekalipun, jika berat melebihi 1.8 tan tetap dianggap sebagai sebuah jentera yang biasa-biasa sahaja.
Aspirasi Lotus ini sememangnya sesuatu yang terpuji namun beliau nampaknya terlepas pandang bahawa kenyataannya telah “mensabotaj” barisan model jenamanya sendiri.
Hakikatnya, setiap kereta elektrik penuh (BEV) dan plug in hibrid (PHEV) yang membawa lencana Lotus mempunyai berat melebihi 1.8 tan. Senarai ini termasuk model Eletre dan Emeya, yang masing-masing dipasarkan sebagai hyper SUV dan hyper-GT.
Malah, hypercar Evija yang mempunyai kuasa 2,011 hp turut mencatatkan berat melebihi 1.8 tan. Berikut adalah senarai berat kosong bagi model-model tersebut:
- Lotus Evija: 1,894 kg (1.89 tan)
- Lotus Emeya: 2,455 kg (2.45 tan)
- Lotus Eletre: 2,600 kg (2.60 tan)
- Lotus Eletre X: 2,625 kg (2.62 tan)
Hanya Lotus Emira yang dikuasakan oleh enjin petrol sahaja yang menepati piawaian CEO jenama tersebut, dengan berat sekitar 1,460 kg.
Jadi, mengikut logik kenyataan tersebut Emira merupakan satu-satunya kereta sukan “sebenar” di antara kenderaan lain yang “biasa-biasa” dalam barisan model mereka.
Di sebalik usikan tersebut, Feng Qingfeng berkemungkinan besar sedang memberi bayangan bahawa kereta sukan PHEV berenjin V8 milik jenama itu yang baru mendedahkan reka bentuknya, akan mempunyai berat kosong di bawah 1.8 tan apabila ia memasuki pasaran pada 2028.






























