Utama Berita Automotif UCar-e: Perodua perkenal sewa kereta pintar buat warga kampus

UCar-e: Perodua perkenal sewa kereta pintar buat warga kampus

9

Perodua menjalin kerjasama dengan tiga universiti tempatan bagi memperkenalkan aplikasi UCar-e (sebutan ‘You Car’) iaitu perkhidmatan sewa kenderaan khas buat pelajar dan kakitangan universiti.

Inisiatif terbaharu Perodua di bawah konsep ‘Mobility as a Lifestyle’ itu melibatkan Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (Malaysia-Japan International Institute of Technology).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Sri Zainal Abidin Ahmad berkata sebagai permulaan, pihaknya menyediakan 50 unit kenderaan Perodua kepada universiti yang terlibat untuk digunakan oleh pelajar dan kakitangan mereka.

“Mereka boleh membuat tempahan, mengakses dan menggunakan kenderaan berkenaan untuk bergerak daripada hostel ke dewan kuliah dalam kawasan universiti.

“Aplikasi UCar-e membolehkan pengguna mengesan kenderaan yang diletakkan di tapak parkir ditetapkan di dalam kampus.

“Pengguna juga akan diberikan panduan spesifik mengenai zon parkir yang boleh digunakan untuk memulangkan kenderaan selepas digunakan,” jelasnya. 

Tambah beliau, Perodua juga bekerjasama rapat dengan wakil universiti untuk melantik pelajar-pelajar menguruskan kenderaan sewa berkenaan, termasuklah memastikan kebersihan, bekalan petrol serta memastikan kenderaan itu terjaga.

Pelajar yang terlibat akan menerima bayaran dalam bentuk komisen sekaligus memberi peluang mengasah bakat keusahawanan. 

Perkhidmatan berkenaan dijangka bermula pada Jun 2026 dengan pelaksanaannya berjalan dalam beberapa peringkat, bergantung kepada kesediaan pihak universiti.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here