Utama Berita Automotif Hampir 500 pemilik Zeekr rantau ASEAN sertai Zeekr Dynamic

Hampir 500 pemilik Zeekr rantau ASEAN sertai Zeekr Dynamic

2

Zeekr Malaysia buat julung kali menganjurkan acara Zeekr Dynamic di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) baru-baru ini.

Acara itu menjadikan Malaysia sebagai tuan rumah pertama program pengalaman pemanduan rasmi jenama Zeekr di Asia Tenggara.

Zeekr Dynamic direka khusus bagi mengetengahkan prestasi, teknologi dan keseronokan pemanduan yang menjadi identiti jenama EV premium berkenaan.

Program ini juga menjadi platform menyatukan komuniti pemilik Zeekr menerusi minat sama terhadap dunia pemanduan.

Acara sehari itu berjaya menghimpunkan hampir 500 pemilik Zeekr dari Malaysia, Singapura dan Vietnam bersama ahli keluarga mereka.

Fokus utama acara tertumpu kepada model Zeekr 7X dan Zeekr X, di mana peserta berpeluang menguji keupayaan kedua-dua model dalam persekitaran litar yang terkawal.

Pelbagai aktiviti pemanduan dirangka khas bagi memperlihatkan prestasi, ciri keselamatan dan dinamik pengendalian yang sukar dialami dalam situasi pemanduan harian biasa.

Pengurus Besar Zeekr Malaysia, Eddy Lu berkata, Malaysia dipilih sebagai lokasi pertama Zeekr Dynamic kerana peranannya yang semakin penting dalam strategi pertumbuhan jenama di Asia Tenggara.

Beliau berkata, acara itu diwujudkan khusus untuk membolehkan pelanggan merasai sendiri prestasi, ketepatan kawalan dan karakter pemanduan yang menjadi kelebihan utama model-model Zeekr dalam suasana litar sebenar.

Antara aktiviti utama dijalankan termasuk ujian mengelak halangan bagi menunjukkan keberkesanan sistem kawalan kestabilan elektronik (ESP/ESC), laluan slalom untuk menguji ketepatan stereng dan keseimbangan casis, serta simulasi brek kecemasan yang memperlihatkan prestasi sistem brek dan tindak balas ABS ketika nyahpecutan mendadak.

Turut diadakan latihan pertukaran lorong yang menonjolkan fungsi sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) seperti Bantuan Kekal Lorong dan Amaran Keluar Lorong, selain sesi konvoi litar yang membolehkan peserta merasai pecutan dan keupayaan membrek dalam persekitaran berkelajuan tinggi dan terkawal.

Selain aktiviti di litar, Zeekr Dynamic menampilkan pelbagai program mesra keluarga bagi memastikan pengalaman menyeronokkan untuk semua pengunjung.

Antara tarikan disediakan termasuk Zeekr Track Challenge Passport yang membolehkan peserta mengumpul cop aktiviti dan menebus hadiah, zon cabaran interaktif berasaskan refleks dan ketepatan pemanduan, simulator perlumbaan Sepang serta kawasan khas untuk keluarga dan kanak-kanak.

Pelbagai trak makanan dan ruang hospitaliti disediakan bagi mewujudkan suasana santai seakan festival sepanjang acara berlangsung.

Penganjuran Zeekr Dynamic di SIC memperlihatkan kekuatan komuniti pemilik Zeekr yang semakin berkembang, di samping mengukuhkan hubungan antara pelanggan dengan jenama tersebut selepas pembelian.

Acara itu bukan sekadar mempamerkan keupayaan teknologi dan prestasi kenderaannya, tapi dalam masa sama memperkukuh ekosistem komuniti yang menjadi elemen penting dalam strategi mobiliti elektrik premium jenama terbabit.

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here