
UD Trucks Malaysia dan rakan pengedar tunggalnya, Tan Chong Industrial Equipment Sdn Bhd (TCIE) merasmikan pembukaan pusat pengedaran 3S (Jualan, Servis dan Alat Ganti) baharu di Nilai, Negeri Sembilan.
Ia adalah hasil kerjasama strategik dengan pengedar persendirian baharu, Soon Seng Automobile Sdn Bhd.
Terletak di Lot 109, Jalan Platinum 5/5, Pusat Perdagangan Nilai Impian, fasiliti baharu itu dibangunkan bagi memenuhi keperluan pelanggan trak komersial di kawasan Nilai serta koridor industri sekitarnya.

Majlis pembukaan rasmi pusat 3S itu dihadiri barisan pengurusan kanan UD Trucks, TCIE dan Soon Seng Automobile sebagai simbol komitmen bersama dalam memperkukuh rangkaian sokongan pelanggan di Malaysia.
Pengarah Wilayah (Asia Tenggara dan Asia Timur) UD Trucks, Keiichiro Ochiai berkata, pelantikan Soon Seng Automobile sebagai pengedar baharu mencerminkan usaha berterusan syarikat dalam menyediakan penyelesaian pengangkutan lebih dekat dengan pelanggan.

Katanya, pembukaan pusat 3S itu juga selaras dengan misi UD Trucks untuk membekal kenderaan komersial berkualiti tinggi dan inovatif kepada pengendali armada serta perniagaan yang memerlukan tahap kecekapan operasi tinggi.
Soon Seng Automobile melihat kerjasama itu sebagai pencapaian penting dalam sejarah syarikat yang beroperasi dalam industri pengangkutan Malaysia sejak tahun 1978.

Pengarahnya, Edmund Chan berkata, pusat 3S itu membolehkan syarikat memberi sokongan lebih menyeluruh kepada pelanggan menerusi gabungan produk, penyelesaian logistik pintar dan perkhidmatan selepas jualan dipercayai.
Pusat 3S Nilai ini menawarkan rangkaian penuh model komersial UD Trucks termasuk trak ringan Kuzer, trak sederhana Croner dan trak berat Quester yang menjadi tulang belakang pelbagai sektor logistik, pembinaan dan pengangkutan.

Pusat tersebut dilengkapi empat ruang servis yang mampu menjalankan kerja penyelenggaraan dan pembaikan trak, selain mempunyai peralatan diagnostik khusus serta stok alat ganti tulen UD Trucks bagi memastikan masa operasi pelanggan berada pada tahap optimum.
Sempena pembukaan fasiliti baharu itu, UD Trucks turut mengadakan majlis penyerahan kenderaan kepada dua pelanggan korporat.

Logisteed Malaysia Sdn Bhd menerima tiga unit trak UD Quester untuk menyokong operasi logistik syarikat, manakala LLC Infra Sdn Bhd menerima dua unit trak UD Croner bagi kegunaan sektor kejuruteraan dan pembinaan.
Ketua Pegawai Operasi TCIE, Loh Thim Choy berkata, pemilihan Nilai sebagai lokasi pusat baharu dibuat berdasarkan kedudukannya yang strategik sebagai hab industri dan logistik utama selain disokong rangkaian lebuh raya serta pembangunan komersial yang pesat.
Menurutnya, kehadiran pusat 3S itu membolehkan pelanggan menikmati akses lebih mudah kepada produk dan perkhidmatan UD Trucks, termasuk program UD Extra Mile Services yang merangkumi alat ganti tulen, kontrak penyelenggaraan serta bantuan tepi jalan 24 jam, tujuh hari seminggu.





























