Utama Berita Automotif Proton labur RM37 juta naik taraf fasiliti NEV Tanjong Malim

Proton labur RM37 juta naik taraf fasiliti NEV Tanjong Malim

3

Peningkatan permintaan terhadap kenderaan elektrifikasi keluaran Proton mendorong pengeluar automotif nasional itu mempercepat rancangan pengembangan kapasiti pengeluaran di kilang Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) di Lembah Teknologi Tinggi Automotif, Tanjong Malim.

Proton mengumumkan pelan pelaburan baharu bernilai RM37 juta bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran fasiliti tersebut, kurang setahun selepas kilang itu beroperasi.

Langkah itu diambil berikutan sambutan luar jangka terhadap model Proton e.MAS di pasaran tempatan serta potensi pertumbuhan eksport pada masa hadapan.

Pelaburan baharu itu juga selari dengan usaha kerajaan memperkukuh industri EV tempatan dan mempercepat pembangunan ekosistem automotif berteknologi tinggi di Malaysia.

Kilang NEV dibangunkan menerusi pelaburan awal RM82 juta dan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mempunyai kapasiti pemasangan sehingga 20,000 unit setahun.

Fasiliti berkenaan dilengkapi teknologi pembuatan moden termasuk sistem robotik, internet pelbagai benda (IoT) dan pengurusan pengeluaran berasaskan awan, membolehkan pelbagai model dipasang pada satu barisan pengeluaran sama.

Kapasiti tahunan kilang tersebut bakal meningkat lebih dua kali ganda kepada 42,000 unit setahun dengan pelan naik taraf itu.

Peningkatan ini bukan hanya untuk memenuhi permintaan domestik, malah mengukuhkan peranan Tanjong Malim sebagai hab serantau pengeluaran NEV dalam rangkaian global Geely Group.

Ketika ini, fasiliti tersebut mempunyai 391 pekerja dan pengembangan baharu dijangka mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta memperkukuh pembangunan rantaian bekalan EV dan kepakaran teknikal tempatan.

Keputusan mempercepatkan pengembangan kilang itu didorong prestasi jualan memberangsangkan jenama Proton e.MAS yang kini muncul sebagai antara pemain utama dalam pasaran EV tempatan.

Proton e.MAS 5 mencatatkan 8,472 unit penghantaran dalam tempoh empat bulan pertama tahun 2026, sekali gus muncul sebagai model EV terlaris di Malaysia.

Gabungan harga kompetitif, teknologi terhubung, ciri praktikal dan prestasi diyakini menjadikan model itu pilihan utama pengguna yang ingin beralih kepada mobiliti elektrik.

Proton e.MAS 7 dan e.MAS 7 PHEV merekodkan jumlah keseluruhan jualan rangkaian NEV Proton sebanyak 11,617 unit bagi tempoh Januari hingga April 2026, meningkat 329 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Bagi memenuhi permintaan terus meningkat serta mengurangkan tempoh menunggu pelanggan, Proton e.MAS 5 akan menyertai Proton e.MAS 7 sebagai model EV pemasangan tempatan (CKD) di kilang Tanjong Malim.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Ir Abdul Rashid Musa berkata, sambutan pasaran yang amat positif terhadap model Proton e.MAS menyebabkan keperluan untuk menambah kapasiti pengeluaran berlaku lebih awal daripada perancangan asal syarikat.

Katanya, permintaan pelanggan melebihi jangkaan bukan sahaja mempercepatkan pelaburan pengembangan kilang, malah mengukuhkan keyakinan Proton terhadap masa depan pasaran EV Malaysia.

Tambahnya, pelaburan tersebut bukan sekadar meningkatkan kapasiti pengeluaran, tetapi turut menyumbang kepada pembangunan bakat tempatan, penciptaan peluang pekerjaan serta pengukuhan rantaian bekalan automotif negara.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here