
PROTON membuka tempahan bagi model sedan terbaharunya, PROTON S70 RS 2027, di semua pusat jualan sah seluruh negara, dengan tawaran rebat istimewa RM1,000 kepada pelanggan yang membuat tempahan awal.
Model yang ditawarkan dalam dua varian, Premium dan Sportline itu bakal menggantikan varian S70 berenjin turbo sedia ada, sekali gus melengkapkan rangkaian PROTON S70 i-GT 1.5 yang merangkumi varian Lite dan Prime, diperkenalkan September lalu.
Pelanggan yang membuat tempahan selewat-lewatnya pada 1 Disember 2026 layak menikmati tawaran berkenaan, tertakluk kepada pendaftaran kenderaan pada atau sebelum 31 Mac 2027 serta terma dan syarat ditetapkan.
Model baharu itu yang membawa maksud Refined Sportiness (RS) mengetengahkan gabungan reka bentuk lebih sporty, peningkatan prestasi, teknologi kesalinghubungan dan ciri keselamatan termaju.
Dari segi prestasi, PROTON S70 RS 2027 dikuasakan enjin i-GT 1.5 liter turbo yang dipadankan dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan (DCT), menghasilkan kuasa 181 PS dan tork 290 Nm.
Rangkaian kuasa berkenaan membolehkan sedan segmen-C itu memecut dari sifar hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam tempoh 7.5 saat.

Model itu turut dilengkapi Mod Pemanduan Adaptif (Adaptive Mode) sebagai tambahan kepada tiga mod pemanduan sedia ada, selain fungsi pemilihan tetapan stereng mengikut keselesaan pemandu.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Ir Abdul Rashid Musa berkata, penambahbaikan dari segi reka bentuk, pengalaman pemanduan dan teknologi dijangka meningkatkan lagi daya tarikan model berkenaan.
“Dengan meneruskan kekuatan yang telah dibina oleh PROTON S70, model RS baharu ini hadir dengan penambahbaikan dari segi reka bentuk, pengalaman pemanduan dan teknologi bagi meningkatkan lagi daya tarikannya.
“Kami yakin 2027 PROTON S70 RS akan terus memperkukuh kedudukan PROTON dalam pasaran sedan segmen-C, selain menawarkan gabungan gaya, prestasi dan teknologi yang menarik kepada pelanggan,” katanya.

Dari aspek reka bentuk, model itu menerima pembaharuan pada gril hadapan, bonet dan bampar, selain dilengkapi skirt sisi, spoiler belakang, rim aloi 17 inci serta kemasan empat muncung ekzos.
Ruang kabinnya pula menampilkan kemasan hitam dengan aksen merah, konsol tengah jenis terapung serta sistem pencahayaan ambien dengan pilihan 256 warna.
Bagi teknologi kesalinghubungan, PROTON S70 RS 2027 dilengkapi skrin infotainmen 14.6 inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, selain sistem arahan suara ‘Hi PROTON’ yang kini menyokong pengecaman Bahasa Melayu.
Ciri keselamatan pula merangkumi:
- Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS)
- enam beg udara
- Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS)
- sistem kamera HD 540 darjah yang diperkenalkan buat pertama kali pada model S70
Selain itu, sistem PROTON Link 2.0 turut menyokong integrasi dengan jam tangan pintar Huawei bagi membolehkan pengguna mengakses fungsi kenderaan terpilih.
Maklumat lanjut mengenai model berkenaan boleh diperoleh menerusi laman web rasmi PROTON di http://www.proton.com





























