
DENZA Malaysia hari ini melancarkan DENZA D9 Prestige AWD baharu yang dilengkapi teknologi BYD Flash Charging, sekali gus menawarkan pengalaman perjalanan lebih mewah, selesa dan pantas.
Model itu menggunakan Bateri Blade Generasi Kedua BYD berkapasiti 115.07 kWh yang membolehkan pengecasan daripada 10 peratus kepada 70 peratus dalam masa hanya lima minit, manakala 10 peratus kepada 97 peratus dalam sekitar sembilan minit, tertakluk kepada keadaan pengecasan optimum.
Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma berkata, Malaysia merupakan pasaran penting bagi DENZA dan penambahbaikan kali ini mengambil kira pengalaman serta keperluan pelanggan, khususnya dari segi keselesaan kabin, hiburan penumpang dan teknologi.
“DENZA D9 bukan sekadar sebuah MPV mewah. Ia menawarkan ruang untuk keluarga dan penumpang menikmati perjalanan bersama dengan lebih selesa. Dengan gabungan Bateri Blade Generasi Kedua BYD dan teknologi BYD Flash Charging, kami turut membawa kemudahan pengecasan yang lebih pantas kepada pemilik,” katanya.
DENZA D9 Prestige AWD menampilkan kemasan kulit Nappa, tempat duduk barisan kedua dengan pelarasan elektrik pelbagai arah serta fungsi urutan 16 titik, selain fungsi pengudaraan dan pemanasan untuk barisan kedua dan ketiga.
Penumpang barisan kedua turut menikmati dua skrin multimedia 12.8 inci, manakala sistem audio Devialet dengan 16 pembesar suara melengkapkan pengalaman hiburan dalam kabin.
Dari segi ruang, kapasiti bagasi boleh mencecah sehingga 2,436 liter bergantung pada susunan tempat duduk, dengan 689 liter apabila semua tempat duduk digunakan, selain ruang penyimpanan tambahan 126 liter di bawah lantai.

Model itu dikuasakan rangkaian kuasa elektrik yang menghasilkan kuasa maksimum sehingga 410 kW (557 PS) dan tork maksimum 445 Nm, dengan jarak pemanduan sehingga 650 km berdasarkan kitaran NEDC.
Ia turut dilengkapi sistem suspensi redaman pintar DiSus-C dengan injap berkembar bagi meningkatkan keselesaan dan kestabilan pemanduan.
Dari segi keselamatan, DENZA D9 Prestige AWD dilengkapi:
- sistem bantuan pemandu termaju (ADAS)
- Sistem Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
- Kawalan Jelajah Pintar (ICC)
- Bantuan Kekal Lorong Kecemasan (ELKA)
- sembilan beg udara termasuk beg udara hadapan tengah
DENZA D9 Prestige AWD ditawarkan pada harga RM345,800 tidak termasuk insurans dan pendaftaran.
Ia didatangkan bersama pakej pemilikan menyeluruh termasuk BYD Flash Charging percuma selama setahun, waranti kenderaan 6 tahun atau 150,000 km, servis penyelenggaraan berjadual percuma 6 tahun, waranti bateri voltan tinggi 8 tahun atau 160,000 km, serta waranti unit pacuan 8 tahun atau 160,000 km.

Pelanggan yang membuat tempahan sebelum 31 Disember 2026 akan menerima pakej DENZA Care+ bernilai RM7,088 tanpa kos tambahan, yang menambah dua tahun atau 40,000 km kepada waranti bateri voltan tinggi, menjadikan perlindungan keseluruhan sehingga 10 tahun atau 200,000 km.
Bagi meraikan pengenalan teknologi itu, DENZA Malaysia menawarkan pengecasan BYD Flash Charging percuma selama setahun kepada pemilik baharu DENZA D9 Prestige AWD serta pemilik DENZA Z9GT.
Sehingga 8 Disember 2026, pemilik kenderaan DENZA yang dilengkapi Bateri Blade Generasi Kedua boleh menggunakan kemudahan BYD Flash Charging di tiga lokasi yang kini beroperasi iaitu bilik pameran mewah DENZA Balakong, Glenmarie dan Old Klang Road, tanpa perlu memuat turun aplikasi atau membuat pendaftaran.
Mulai 9 Disember 2026, pemilik perlu menggunakan aplikasi BYD Flash Charging App untuk mengakses kemudahan itu, manakala pengecasan percuma akan diteruskan di lokasi BYD Flash Charging yang beroperasi sehingga 31 Disember 2027.
Model baharu itu ditawarkan dalam empat warna luaran iaitu Arctic White, Cosmos Black, Starry Night Grey dan Whale Blue Sea.
Starry Night Grey merupakan warna baharu yang dipadankan dengan kemasan dalaman hitam, manakala tiga warna lain dipadankan dengan kemasan dalaman coklat.
DENZA D9 Prestige AWD baharu kini boleh dilihat dan dipandu uji di bilik pameran mewah DENZA di seluruh negara termasuk Balakong, Glenmarie, KLCC, KL North, Old Klang Road, Melaka, Pulau Pinang dan Skudai.
GALERI :














































