Utama Berita Automotif Batal buka kilang Tanjong Malim, BYD pilih rakan pengeluaran tempatan

Batal buka kilang Tanjong Malim, BYD pilih rakan pengeluaran tempatan

1

Gergasi kenderaan elektrik (EV) China, BYD akhirnya merungkai persoalan berhubung status serta hala tuju projek pemasangan tempatan (CKD) jenama berkenaan di pasaran Malaysia.

Syarikat itu mengesahkan perancangan awal untuk membina fasiliti pengeluaran kenderaan di Tanjong Malim, Perak tidak akan diteruskan.

Sebaliknya, BYD memilih untuk beralih kepada strategi kerjasama dengan rakan pengeluaran tempatan sedia ada.

Informasi terkini itu didedahkan oleh Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma pada majlis pelancaran rasmi varian flagship BYD Atto 3 Performance, semalam. 

Komitmen CKD Kekal, Perbincangan Kini Di Peringkat Akhir

Meskipun terdapat perubahan strategi lokasi, Jacob Ma menegaskan bahawa keputusan menamatkan fasiliti Tanjong Malim itu sama sekali tidak menjejaskan komitmen berterusan BYD untuk merealisasikan program CKD di Malaysia.

“Bagi menjelaskan keadaan, fasiliti di Tanjong Malim tidak akan diteruskan. Bagaimanapun, keputusan ini tidak bermakna BYD membatalkan pelan pemasangan tempatan di Malaysia. Komitmen kami terhadap pengeluaran CKD kekal kukuh,” tegas beliau.

Menurutnya, syarikat kini sedang berunding secara aktif bersama sebuah entiti automotif tempatan yang berpengalaman demi mempercepatkan proses pengeluaran.

Jenama berkenaan sedang menjalin kerjasama rapat dengan rakan pengeluaran tempatan yang mempunyai keupayaan teknikal serta kapasiti kilang untuk memenuhi standard piawaian BYD.

“Kami sedang bekerjasama dengan sebuah rakan kongsi pengeluaran yang mampu menyokong keseluruhan operasi pemasangan tempatan kami.

“Perbincangan kini berada di peringkat yang sangat maju dan kami sedang melengkapkan dokumentasi yang diperlukan. Pengumuman rasmi hanya akan dibuat sebaik sahaja semuanya dimuktamadkan,” katanya yang masih menyimpan rapi identiti rakan kerjasama tersebut. 

Mengulas mengenai pertukaran rancangan asal tersebut, Jacob Ma menjelaskan bahawa langkah beralih kepada rakan pengeluaran tempatan merupakan pilihan terpantas untuk merealisasikan perancangan CKD di samping menyokong keseluruhan ekosistem industri automotif tempatan.

“Kami terus melihat Malaysia sebagai pasaran penting dan bahagian strategik kepada pertumbuhan BYD pada masa hadapan. Pelan mungkin berubah, lokasi mungkin bertukar dan strategi mungkin ditambah baik, namun apa yang kekal konsisten adalah komitmen kami terhadap pasaran ini. Kami akan terus melabur,” ujarnya.

 

 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here