
Sebanyak 945 syarikat kenderaan barangan yang mempunyai lebih 20 saman tertunggak diberi tempoh 14 hari sehingga 24 September ini untuk menyelesaikan semua saman berkenaan atau berdepan tindakan tegas termasuk penggantungan permit.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata jumlah itu melibatkan 40,595 saman tertunggak bernilai keseluruhan RM12.18 juta bagi tempoh antara 2023 hingga 2026.
Beliau berkata daripada jumlah itu, 940 adalah syarikat kenderaan barangan, manakala lima lagi syarikat bas.
Katanya, jika saman berkenaan gagal dijelaskan dalam tempoh ditetapkan, JPJ menerusi kerjasama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan menggantung permit syarikat.

Tindakan itu juga boleh menyebabkan kenderaan syarikat berkenaan disita sekiranya didapati masih beroperasi di jalan raya selepas permit digantung.
“Buat masa sekarang kita lihat perkara ini berleluasa apabila banyak syarikat tidak mengambil peduli untuk menyelesaikan saman walaupun notis dikeluarkan. Malah, ada yang sudah dipanggil untuk menyelesaikan saman tetapi masih berdegil.
“JPJ tidak akan berkompromi. Selepas beberapa kali kita beri notis kepada syarikat ini namun mereka masih berdegil untuk menyelesaikan saman, kita tidak akan beri muka lagi,” katanya.
Tambah beliau, syarikat dan pemilik kenderaan perdagangan tidak boleh melepaskan tanggungjawab kepada pemandu semata-mata, sebaliknya perlu memastikan kenderaan serta pemandu di bawah pengurusan mereka sentiasa mematuhi undang-undang.
Berdasarkan senarai yang dikeluarkan JPJ, KDEB Waste Management Sdn Bhd mencatatkan jumlah saman tertunggak tertinggi dengan 3,083 saman, diikuti Majniza Mantap Sdn Bhd (889 saman).
Turut disenaraikan Boon Chin Transport Sdn Bhd dengan 767 saman, Syarikat Ehsan Enterprise Sdn Bhd (482), Tashwin IT Enterprise (321) dan Cahaya Nurani Jaya Sdn Bhd (245).































