
BYD Sime Motors secara rasmi memperkenalkan varian paling berkuasa dalam barisan SUV elektriknya, BYD Atto 3 Performance.
Ditawarkan pada harga RM149,800 atas jalan tanpa insurans untuk Semenanjung Malaysia, model edisi terhad sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-69 itu hanya ditawarkan sebanyak 69 unit sahaja di pasaran tempatan.

Ia menjadikan varian Atto 3 paling eksklusif setakat ini.
Berbeza dengan Atto 3 Ultra dan Premium, versi Performance hadir dengan sistem pacuan semua roda AWD dwi-motor yang menghasilkan kuasa gabungan sehingga 330kW atau 449ps dengan tork 560Nm.
Dengan bateri BYD Blade Battery 74.88kWh, SUV ini mampu memecut dari 0-100km/j dalam masa 4.0 saat sahaja.


Jarak pemanduan pula dianggarkan sehingga 530km mengikut kitaran NEDC.
Sebagai perbandingan, Atto 3 Premium mencatatkan 0-100km/j dalam 5.5 saat, manakala Atto 3 Ultra pula 7.3 saat.
Bateri berkenaan turut menyokong pengecasan pantas DC sehingga 220kW. BYD Sime Motors turut menawarkan kabel pengecasan Type 2 dan adapter Vehicle-to-Load V2L secara percuma.
Atto 3 Performance turut memperkenalkan dua ciri baharu pertama dalam famili Atto 3 iaitu :
- paparan Head-Up Display tanpa wayar W-HUD
- peti sejuk terbina dalam dengan fungsi penyejukan dan pemanasan
Dari segi praktikaliti, ruang but dikekalkan sehingga 1,360 liter dengan tambahan ruang bonet depan 101 liter.
Model ini turut dilengkapi sistem bantuan pemanduan termaju ADAS yang dipertingkat termasuk :
- Intelligent Speed Limit Control
- AEB
- BSD
- LKA
- Rear Cross Traffic Brake


BYD Sime Motors menawarkan dua pilihan pakej pelancaran kepada pembeli iaitu pakej pengecas dinding wallbox bersama overtrade sehingga RM6,000 atau pakej servis 6 tahun bersama overtrade sehingga RM5,000.
Dari segi waranti, kenderaan dilindungi 6 tahun atau 150,000km. Manakala bateri dan unit pacuan pula dilindungi 8 tahun atau 160,000km.
Perbandingan harga :
- BYD Atto 3 Ultra – RM125,800
- BYD Atto 3 Premium – RM138,800
- BYD Atto 3 Performance – RM149,800

Dengan spesifikasi berprestasi tinggi dan jumlah pengeluaran terhad, BYD Atto 3 Performance meletakkan penanda aras baharu untuk segmen SUV elektrik mampu milik di Malaysia.
BYD Sime Motors kini mempunyai 44 pusat jualan, 28 pusat servis dan 12 fasiliti badan dan cat di seluruh negara.































