
Honda dengan teknologi e:HEV RS bukanlah sesuatu yang baharu di negara kita kerana telah beberapa tahun berada dalam pasaran. e:HEV RS ditawarkan pada hampir semua model Honda merangkumi City, City Hatchback, HR-V, CR-V, dan Civic.
Tetapi kami baru-baru ini diundang oleh Honda Malaysia untuk mengalami teknologi e:HEV RS dengan lebih mendalam menggunakan Civic dan CR-V. Tetapi kita akan fokus kepada Civic kerana kami lebih banyak meluangkan masa dengan sedan segmen-C tersebut.
Sesi pandu uji kali ini juga menerima kehadiran Nor Hairudin dan Junichi Ishikawa, kedua-duanya dari Honda R&D Asia Pacific Co., Ltd. Mereka yang terlibat secara langsung dalam pembangunan e:HEV RS dan sistem janakuasa Honda bersedia menjawab persoalan sekiranya kami para media mempunyai sebarang kemusykilan.
Setelah memandu Honda Civic e:HEV RS facelift dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang, berikut kami kongsikan 7 perkara yang kami pelajari berkenaan model segmen-C ini.
1. Kokpit luas, kemas dan ergonomik
Sejak pengenalan Honda Civic FE generasi terkini, kami begitu suka keluasan kokpit yang ditawarkan. Ianya hasil dari pendekatan Honda “Man Maximum, Machine Minimum” yang mengutamakan kita penumpang dalam rekaan kabin.
Papan pemukanya juga kemas, seperti dilihat pada corong pendingin hawa, tuil, dan suis yang ringkas tetapi moden. Segala kawalan untuk kenderaan juga ergonomik dan mudah dicapai.
Ini menjadikan Honda Civic sebuah kenderaan yang mudah dan selesa digunakan setiap hari.
2. Tempat duduk belakang lapang dan praktikal
Penumpang belakang tidak dilupakan, kerana anda mendapat ruang kaki dan kepala yang cukup lapang. Cuma warna di seluruh kabin kebanyakannya hitam, mungkin kerana Honda mahu membawakan rasa sporti untuk Civic ini.
Oh ya, terdapat juga corong pendingin hawa, dua soket USB type-C, dan perehat lengan di tengah lengkap dengan dua tempat letak minuman. Ini meningkatkan aspek praktikaliti untuk Civic.
Cuma satu perkara, kedudukan perehat lengan tengah yang sudutnya dengan tempat duduk kelihatan pelik bila diturunkan, mungkin boleh ditambahbaik. Sengaja kami nak cerewet sedikit…
3. Laju, dan memang mudah untuk laju!
Kami harus katakan yang Honda Civic e:HEV RS ini cukup laju. Dan memang sangat mudah untuk menjadi laju! Tanpa turbo pula tu!
Ya benar, Civic e:HEV RS bukan seperti varian RS biasa yang hadir dengan enjin 1.5-liter VTEC Turbo berkuasa 182hp dan 240Nm tork. Sebaliknya, varian e:HEV RS ini dipacu enjin 2.0-liter naturally-aspirated dengan kitaran Atkinson, menghasilkan 143PS dan 189Nm.
Enjin ini digandingkan dengan sistem elektrik merangkumi bateri 1.05kWh dan motor berkuasa 184PS dan 315Nm tork. Motor elektrik yang sinonim dengan respon pantas sedia berkhidmat untuk anda di kelajuan rendah, sementara enjin 2.0 tadi menyambung momentum di kelajuan tinggi.
Hasilnya, anda dapat prestasi serta keyakinan di semua situasi pemanduan, sama ada bila lampu isyarat bertukar hijau, keluar dari simpang, memotong di lebuhraya, atau semasa anda mahu berseronok bersendirian di laluan berselekoh.
4. Pengendalian mantap, stereng tepat, postur duduk sporti
Apalah maknanya jika sesebuah kereta itu laju tanpa kawalan, bukan? Bersama dengan pecutan mudah dan pantas yang ditawarkan Civic e:HEV RS ini, ia juga disokong oleh pengendalian mantap, stereng tepat, serta tempat duduk sporti.
Memandu Civic ini di jalan berliku, anda akan dapat rasakan ia ditala oleh para jurutera untuk memberikan casis yang jitu. Saiz tayar, rim, geometri suspensi, nisbah stereng, respon enjin, dan postur memandu yang rendah, semuanya bekerja bersama menjadikan sedan ini seronok dipandu.
Civic e:HEV RS cukup lincah dan bersahaja dikemudi di selekoh-selekoh tajam dan jalan berbukit dari pekan Tapah hingga ke Chenderiang. Ia kali pertama kami melalui jalan ini, dan pastinya satu jalan yang kami akan kembali lagi satu hari nanti!
Mungkin kami akan melencong ke laluan ini bila mahu ke Cameron Highlands lain kali…
5. Bateri dan enjin digunakan bergilir-gilir banyak kali
Sistem hibrid e:HEV RS tidak seperti hibrid tradisional yang mempunyai motor elektrik di antara enjin dengan kotak gear.
Sebaliknya, konfigurasi e:HEV RS memisahkan enjin dengan motor elektrik di lokasi berbeza, membolehkan roda menerima kuasa dari mana-mana sumber secara bebas, bergantung kepada situasi pemanduan dan input kaki kanan anda.
Di kelajuan rendah, enjin biasanya akan mengecas bateri untuk menyalurkan kuasa ke motor elektrik dan memacu tayar. Di kelajuan tinggi apabila memasuki julat kecekapan enjin, barulah enjin ini akan disambung secara terus ke tayar.
Jika anda memerlukan kuasa maksima, enjin dan motor elektrik akan bersama-sama memacu tayar, dan bila anda melepaskan pedal minyak atau membrek, tenaga kinetik tayar akan mengecas pula bateri.
Senang cerita, enjin mungkin hidup dan padam berkali-kali walaupun anda memandu hanya 2km ke kedai runcit. Jangan risau, sistem ini direka untuk ini, semata-mata memberikan anda penjimatan paling optima.
Magiknya, pertukaran penggunaan kuasa secara bergilir-gilir ini begitu lancar. Anda pasti sukar membezakan mod enjin atau motor, menunjukkan sistem e:HEV RS juga memberikan pemanduan yang selesa dan tidak memenatkan.
Silap-silap jika tiada sesiapa beritahu anda Civic (atau CR-V) e:HEV RS ini adalah hibrid, anda mungkin menyangka ia model petrol biasa.
6. Bateri lebih kecil dan ringan, kipas dialih ke belakang untuk kesenyapan kabin
Nor Hairudin dan Junichi Ishikawa dalam pembentangan mereka telah berkongsi bahawa bateri hibrid e:HEV RS adalah lebih kecil dan ringan, kini diletakkan di bawah tempat duduk belakang.
Ini satu evolusi dari sebelumnya yang meletakkan bateri hibrid di but, ‘mengorbankan’ kapasiti kargo kenderaan. Tambahan lagi, kipas penyejuk bateri pula kini dialih ke belakang, lebih jauh dari penumpang, bertujuan meningkatkan kesenyapan kabin.
Penambahbaikan ini adalah sebahagian dari hasil pengalaman Honda yang telah melibatkan diri dalam teknologi hibrid selama lebih 20 tahun.
7. Bateri dijaga oleh sistem lebih bijak, memanjangkan hayat
Bercakap mengenai pengalaman, Honda telah berjaya membangunkan sistem yang membolehkan bateri mempunyai kapasiti tinggi sepanjang jangka hayatnya, tetapi pada masa yang sama dengan model kemerosotan bateri yang unik.
Ini dicapai dengan pengurusan bateri yang pintar. Sebagai contoh, semasa menuruni bukit secara berterusan, bateri kompak 1.05kWh akan cepat penuh dicas, kemudian kenderaan akan memasuki mod enjin tetapi tanpa penggunaan bahan api. Hanya tenaga kinetik tayar yang akan menggerakkan enjin.
Kesimpulannya, bateri hibrid pada e:HEV RS ini lebih selamat dan mempunyai jangka hayat lebih baik sambil memberikan pemanduan sporti dan efisyen.