Utama Berita Automotif Honda, LG Energy Solution bangunkan rangkaian stesen pertukaran bateri di Vietnam

Honda, LG Energy Solution bangunkan rangkaian stesen pertukaran bateri di Vietnam

1

Honda baru-baru ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama LG Energy Solution dan pihak bandar Hanoi. 

Ketiga-tiga pihak tersebut akan bekerjasama untuk membangunkan rangkaian stesen pertukaran bateri (BSS) untuk motosikal elektrik di bandar tersebut. 

Majlis tandatangan tersebut turut dihadiri oleh Truong Viet Trung selaku Timbalan Datuk Bandar Hanoi, Dao Viet Long (Timbalan Pengarah Jabatan Pembinaan), Kawabata (Ketua Divisyen Mobile Power Pack Honda) serta Jaekwon Kim (Ketua Kumpulan Pemasaran Divisyen Bateri Kecil LG Energy Solution). 

Bermula suku ketiga tahun ini, sebanyak kira-kira 50 stesen pertukaran bateri akan dibina di beberapa lokasi strategik di sekitar Hanoi selain memperkenalkan 500 buah motosikal elektrik sebagai permulaan projek demonstrasi. 

LG Energy Solution bertanggungjawab membekalkan bateri silinder 2170 dan membangunkan sistem pengurusan keselamatan, mengendalikan sistem pertukaran bateri dan menyediakan penyelesaian operasi. 

Syarikat itu juga akan memacu pelaksanaan pengurusan kitar hayat bateri dan sistem keselamatan. 

Honda pula bertanggungjawab terhadap sistem Mobile Power Pack, mesin pertukaran bateri dan motosikal elektrik

Pihak bandar Hanoi pula akan menguruskan kelulusan, sokongan dasar serta kerjasama operasi di peringkat tempatan. 

Menurut Truong Viet Trung, “Korea dan Jepun menerupakan negara peneraju dalam teknologi stesen pertukaran bateri bagi motosikal elektrik. 

“Kami berharap infrastruktur pertukaran bateri yang lebih mudah dan efisien dapat dibangunkan untuk warga Hanoi berasaskan kepakaran teknologi LG Energy Solution dan Honda. 

Wakil daripada LG Energy Solution menambah, Vietnam merupakan negara yang paling kritikal di Asia Tenggara bagi peralihan kepada mobiliti elektrik dua roda. Kami akan terus menyumbang kepada pembangunan infrastruktur mesra alam di sini berdasarkan teknologi yang dapat menambah baik aspek keselamatan, masa penggunaan dan tempoh hayat bateri untuk jentera dua roda.”

 

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here