
Toyota Australia baru-baru ini memperkenalkan pakej naik taraf Gross Vehicle Mass (GVM) untuk trak pikap Hilux baharu sebagai jawapan kepada penawaran Ford Ranger Super Duty.
Ia merupakan penyelesaian yang ditawarkan oleh Toyota kepada pengguna untuk meningkatkan keupayaan sebenar ‘kuda kerja’ tersebut tanpa perlu bergantung kepada aksesori aftermarket.
Pakej ini menambah ciri seperti penyerap hentak tiub tunggal belakang yang lebih panjang dengan ketinggian suspensi meningkat sehingga 10 mm.
Bahagian casis turut diperkuat dengan meningkatkan ‘rating’ beban gandar sebanyak 100 kg di depan dan 280 kg di belakang.
Hasilnya, Hilux kini berupaya membawa beban seberat 1,525 kg maksimum, namun keupayaan menunda beban masih lagi kekal pada 3,500 kg.
Sebagai perbandingan, Ranger Super Duty berupaya membawa beban seberat 1,982 kg dan menunda beban seberat 4,500 kg.
Naik taraf GVM ini hanya ditawarkan kepada enam konfigurasi double-cab dan extra-cab model 4×4 automatik dengan enjin 2.8 turbodiesel, tidak termasuk varian gaya hidup seperti Rogue dan Rugged X.
Sayang sekali, pembeli Hilux manual tidak berpeluang untuk menikmati naik taraf tersebut.
Selain itu, Toyota Australia turut menawarkan pelbagai aksesori seperti bullbar keluli kusam, snorkel, bed aluminium dengan pintu sisi boleh buka, serta rim 17 inci hitam yang dibaluti tayar all-terrain.
Pakej naik taraf GVM ini bernilai AU$4,000 (RM11,319) dan dilindungi jaminan penuh selama lima tahun dan keserasian menyeluruh dengan sistem keselamatan Hilux sedia ada.



































