
Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) menahan lima pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan enam orang awam selepas didapati terlibat dalam sindiket penyeludupan dadah pada Selasa.
Pengarah JSJN, Datuk Hussein Omar Khan berkata siri operasi sekitar Lembah Klang dan Labuan itu turut membawa kepada rampasan 96.64kg dadah disyaki jenis Methamphetamine (Syabu) bernilai RM4.83 juta, selain cecair bahan kimia seberat 6.98kg.
Katanya, hasil siasatan mendapati dua daripada individu awam yang ditahan dipercayai berperanan sebagai koordinator dalam mengatur dan menyelaraskan kegiatan pengedaran dadah sindiket berkenaan.
“Risikan awal mendapati sindiket dipercayai aktif sejak Julai 2026 dengan menggunakan kemudahan pengangkutan udara ketenteraan TUDM bagi menyeludup dadah dari Semenanjung Malaysia ke Sabah sebelum diedarkan ke pasaran antarabangsa, khususnya Filipina dan Indonesia.
“Kesemua lima pegawai TUDM yang ditahan telah direman selama tujuh hari bermula 18 hingga 24 November 2026, manakala individu awam yang ditahan direman antara dua hingga lima hari.
“Rampasan dadah berkenaan dianggarkan berpotensi menjejaskan seramai 483,000 individu sekiranya berjaya diedarkan,” katanya.
Jelasnya, ujian saringan awal air kencing mendapati dua individu awam positif Methamphetamine, manakala seorang daripada tangkapan awam mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan, jika tidak dihukum mati, sebatan tidak kurang daripada 12 kali bagi mereka yang disabitkan kesalahan.





























