
GWM Malaysia rasmi melancarkan ORA 5 Hi2 HEV pada acara GWM Gateway yang berlangsung 20 hingga 22 November di Piazza Pavilion Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Setelah dipertontonkan pada Jun 2026, akhirnya SUV segmen-B berkenaan rasmi dilancarkan ke pasaran tempatan pada harga RM115,000.
Model pemasangan tempatan (CKD) di kemudahan EPMB, Melaka itu mendapat sistem hibrid (digelar Hi2) yang dibina berasaskan enjin 1.5 liter turbo empat silinder sebaris berkuasa 150 PS dan tork 240 Nm.
Kuasa ini dipertingkatkan lagi menerusi motor elektrik pacuan terus dengan output 190PS dan tork 236Nm yang digabungkan ke dalam transmisi DHT 2-kelajuan.

Motor elektrik berkenaan kemudian disokong oleh bateri berkapasiti 1.09 kWh, sekali gus menghasilkan output gabungan keseluruhan sistem 223 PS dan tork 476 Nm.
GWM turut menjanjikan tahap kecekapan bahan api yang tinggi, di atas kertas ia merekodkan 4.4 liter bagi setiap 100 km (22.7 km/liter) mengikut piawaian NEDC.
Dengan kapasiti tangki bahan api sebesar 55 liter, ia mampu mencapai perbatuan 1,100 km yang mana secara teori cukup untuk perjalanan terus dari Kuching, Sarawak ke Kota Kinabalu, Sabah tanpa perlu mengisi minyak.
Di samping itu, ORA 5 HEV turut menerima pengiktirafan GUINNESS WORLD RECORDS bagi penggunaan bahan api terendah di China menerusi rekod 3.74 liter/100km dengan perjalanan sejauh 3,004km.
Antara kelengkapan yang tersedia untuk Ora 5 HEV merangkumi:
- Rim aloi bersaiz 18-inci (dipadankan dengan tayar 225/60R18)
- Brek cakera pada keempat-empat roda
- Lampu utama LED automatik, lampu nyalaan siang LED (DRL), serta lampu belakang LED
- Spoiler belakang dan rel bumbung
- Pengelap cermin automatik serta cermin sisi berkuasa elektrik
- Pencahayaan ambien
- Skrin sentuh infotainmen bersaiz 15.6-inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar
- Pad pengecasan tanpa wayar berkuasa 50-watt
- Balutan tempat duduk kulit sintetik
Dari segi ukuran, Ora 5 HEV mencatatkan dimensi 4,471 mm panjang, 1,833 mm (lebar), dan 1,641 mm tinggi, dengan jarak roda sepanjang 2,720 mm. Ini menjadikannya secara fizikal lebih panjang berbanding pesaing segmennya seperti Jaecoo J5, Chery Tiggo Cross, Toyota Yaris Cross, dan Proton X50.
Demi ketenangan minda pemilik, Ora 5 HEV didatangkan dengan ciri keselamatan 6-beg udara, Sistem Kawalan Traksi dan kamera 360 darjah serta Sistem Keselamatan Termaju antaranya Intelligent Cruise Assistant (ICA); Front Collision Warning (FCW); Front Cross Traffic Alert (FCTA); Autonomous Emergency Braking (AEB); Lane Departure Warning (LDW); Lane Keeping Assist (LKA) dan Emergency Lane Keeping (ELK) serta Rear Collision Warning (RCW).




























