
Tahukah anda? Jaecoo 7 bukan setakat popular di Malaysia malah begitu digemari di United Kingdom (UK) sehingga mengungguli angka bulanan model terlaris di sana.
Terbaru Jaecoo memperkenalkan Jaecoo 7 SHS-P Luxury+ di UK dengan penampilan lebih mewah dan mungkin menarik jika turut ditawarkan di pasaran tempatan.
Jaecoo 7 Luxury+ merupakan varian andalan baharu yang menggunakan sistem hibrid plug-in (PHEV) dan pilihan pacuan roda hadapan (FWD) dan pacuan semua roda (AWD).
Kedua-duanya menggunakan sistem Chery International Super Hybrid System (SHS).
Jaecoo 7 Luxury+ merupakan Jaecoo 7 pertama yang menggabungkan sistem PHEV dengan pacuan AWD.
Versi AWD juga varian Jaecoo 7 paling berkuasa setakat ini dengan output gabungan 354PS dan 490Nm.
Model ini turut menawarkan jarak pemanduan elektrik sehingga 127km bagi versi FWD, iaitu paling jauh dalam rangkaian Jaecoo 7.
Sementara itu, versi AWD mempunyai jarak pemanduan elektrik sehingga 113km. Kedua-dua versi menggunakan bateri lebih besar berkapasiti 26.6kWj.
Varian baharu ini turut menerima beberapa penambahbaikan dari segi kelengkapan kabin, reka bentuk dan sistem bantuan pemanduan.
Pilihan FWD dan AWD, sehingga 354PS
Sistem SHS pada Jaecoo 7 SHS-P Luxury+ boleh beroperasi dalam tiga mod iaitu elektrik penuh, hibrid siri dan hibrid selari.
Sistem tersebut menggabungkan enjin petrol turbo 1.5 liter dengan kecekapan terma 44.5 peratus, motor elektrik berkecekapan tinggi dan transmisi hibrid khusus.
Sistem ini direka untuk memberikan pengalaman pemanduan seperti kenderaan elektrik bagi kegunaan harian.
Pemilik juga boleh menikmati perjalanan jarak jauh tanpa perlu merancang hentian pengecasan.
Jaecoo 7 Luxury+ ditawarkan dalam dua konfigurasi sistem pacuan iaitu AWD dan FWD.
Versi AWD menghasilkan kuasa gabungan 354PS dan tork 490Nm, membolehkannya memecut dari 0 hingga 100km/j dalam masa 5.9 saat.
Sistem AWD memberikan cengkaman dan keyakinan tambahan ketika memandu dalam keadaan jalan mencabar, termasuk ketika musim sejuk dan di laluan luar bandar.
Versi FWD pula menghasilkan kuasa 204PS dan tork 365Nm, dengan pecutan 0 hingga 100km/j dalam masa 7.9 saat.
Dari segi jarak pemanduan, versi FWD menawarkan jarak elektrik sehingga 127km dan jarak keseluruhan sehingga 1,238km menggunakan gabungan petrol dan elektrik.
Versi AWD pula mempunyai jarak pemanduan elektrik sehingga 113km.
Bateri 26.6kWj, pengecasan DC 65kW
Jaecoo 7 Luxury+ menggunakan bateri berkapasiti 26.6kWj, kira-kira 45 peratus lebih besar berbanding bateri 18.4kWj pada Jaecoo 7 SHS-P sedia ada.
Peningkatan kapasiti bateri ini membolehkan jarak pemanduan elektrik bertambah sehingga 37km.
Untuk pengecasan, sistem ini menyokong pengecasan pantas DC sehingga 65kW. Bateri boleh dicas dari 30 hingga 80 peratus dalam masa hanya 15 minit.
Kedua-dua versi menawarkan jarak EV sekurang-kurangnya 113km (70 batu), melayakkannya untuk kategori cukai BIK lebih rendah di UK.
Ini memberikan kelebihan kepada pengguna kereta syarikat dan pengendali armada (fleet).
Warna baharu dan sistem ADAS dipertingkat
Sebagai varian tertinggi dalam siri Jaecoo 7, Luxury+ menerima beberapa ciri baharu seperti warna Cuprite Red dan Meteorite Grey serta rim aloi premium saiz 19 inci.
Bahagian dalaman turut menampilkan pemegang pintu baharu untuk memberikan rasa lebih premium dan butang khusus untuk memudahkan pelarasan cermin sisi.
Kerusi belakang juga didatangkan dengan fungsi pemanas.
Sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) turut dipertingkat dengan tetapan yang kurang mengganggu melalui pengurangan amaran dan intervensi yang tidak diperlukan.
Selain itu, fungsi tetapan ADAS satu sentuhan membolehkan pemandu menggunakan konfigurasi bantuan pemanduan pilihan tanpa perlu melalui beberapa menu berbeza.
Harga Jaecoo 7 Luxury+ dan populariti di UK
Di United Kingdom, Jaecoo 7 SHS-P Luxury+ ditawarkan pada harga bermula £37,000 (RM200,503) bagi versi FWD dan £38,500 ( RM208,632) bagi versi AWD.
Pelancaran Jaecoo 7 Luxury+ hadir ketika model tersebut mencatat prestasi jualan memberangsangkan di pasaran UK.
Jaecoo 7 menjadi kereta baharu paling laris di negara itu pada Mac, September dan Oktober 2026, selain di tangga kedua dalam senarai jualan terkumpul setakat tahun ini.
Sejak memasuki pasaran UK pada Januari 2025, Jaecoo muncul sebagai antara jenama yang mencatat perkembangan pesat dalam pasaran kereta baharu Britain.




































