Utama Berita Automotif #PanduUji : WEY G9 Hi4 HEV gabungan kabin kelas perniagaan & kuasa...

#PanduUji : WEY G9 Hi4 HEV gabungan kabin kelas perniagaan & kuasa 358PS

4

Apa rasanya menaiki sebuah MPV yang menggabungkan kemewahan kabin kelas perniagaan pesawat dengan suntikan trenkuasa hibrid berprestasi tinggi?. 

Menerusi sesi pandu uji media bersama GWM Malaysia baru-baru ini, kami berpeluang merasai dua dimensi berbeza jentera WEY G9 Hi4 HEV.

Kami berpeluang menjadi penumpang VVIP dari Bamboo Hill sebelum mengambil alih roda stereng bagi menguji pengendalian sekitar Genting Highlands.

GWM Malaysia menyediakan khidmat pemandu peribadi (chauffeur) sepanjang perjalanan lebuh raya meninggalkan kesibukan Kuala Lumpur bagi memberi peluang media merasai tahap keselesaan sebenar sebagai penumpang. 

Sebaik melangkah masuk dan pintu gelunsur ditutup rapat, suasana bising trafik luar terus lenyap digantikan dengan tahap kedapan kabin yang sunyi ‘tahap zen’ terutamanya ketika G9 meluncur lancar pada kelajuan sehingga 130kmj.

Duduk di kerusi kapten barisan kedua menghadirkan rasa santai dan selesa yang tidak ditemui pada MPV biasa.

Apabila melibatkan perjalanan jauh tentunya tubuh mula terasa lenguh, hanya dengan satu sentuhan pada panel kawalan perehat tangan, mod urutan terapeutik 10 titik diaktifkan untuk mengendurkan urat pinggul dan belakang badan. 

Manakala, tawaran fungsi kerusi sifar graviti membolehkan tubuh direhatkan pada posisi ergonomik yang sempurna, lengkap dengan sokongan ottoman serta sistem pengudaraan yang menyegarkan.

Walaupun varian Hi4 HEV ini tidak dilengkapi peti sejuk seperti PHEV, ketersediaan ruang simpanan minuman yang kemas di sisi kerusi kapten serta di belakang konsol tengah sudah cukup memadai untuk perjalanan jauh.

Ditambah pula dengan pencahayaan ambien yang tenang, serta pelbagai ruang simpanan pintar di dalam capaian tangan menjadikan perjalanan yang jauh terasa terlalu singkat.

WEY G9 Hi4 HEV Buktikan Jentera Besar Tetap Lincah Di Selekoh Tajam

Namun, keterujaan sebenar bermula sebaik sahaja tiba di kaki bukit Genting Highlands dan beralih ke kerusi pemandu.

Di atas kertas, suntikan sistem trenkuasa 2.0 liter turbo hibrid bersama transmisi pintar 4-kelajuan DHT menghamburkan kuasa luar biasa mencecah 358 PS dan tork 782 Nm.

Sebaik sahaja pedal minyak dipijak di laluan pendakian, tork bertindak balas serta-merta tanpa sebarang jeda.

MPV berbadan besar dengan berat melebihi 2.5 tan ini mendaki dengan begitu mudah, membuktikan pecutan 0-100kmj dalam masa 7.5 saat bukanlah sekadar angka di atas brosur jualan.

Meskipun bertubuh besar dengan panjang 5,050mm dan jarak roda 3,085mm, MPV ini sama sekali tidak terasa ‘canggung’ di selekoh tajam.

Sistem pacuan semua roda (AWD) pintar memastikan tayar terus melekap kemas di atas jalan, manakala gandingan suspensi bebas McPherson di hadapan dan Multi-link di belakang yang diperkasakan teknologi Frequency Response Damper (FRD) menyerap jalan yang tidak rata dengan begitu lembut.

Walaupun olengan badan mula terasa apabila dipandu melebihi had laju 150kmj bersama bunyi angin dan tayar masuk ke kabin, ia masih berada pada tahap minimum yang sangat terkawal.

Dari segi rupa paras, WEY G9 Hi4 HEV mengekalkan reka bentuk fizikal luaran yang sama seperti versi PHEV, sehinggakan jika dilihat dari jauh sukar untuk membezakan kedua-dua varian ini kecuali ketiadaan penutup pengecas elektrik pada sisi badannya.

Bagi ruang kabin pula, varian ini tidak ditawarkan dengan pilihan kemasan warna coklat, sekali gus menjadikannya pakej yang lebih ringkas namun tetap memelihara aura eksklusifnya.

Ditawarkan pada tanda harga RM249,800 seunit iaitu kira-kira RM20,000 lebih mampu milik berbanding varian PHEV, menjadikannya satu pilihan yang sangat rasional bagi mereka yang mahukan kemewahan penuh tanpa perlu memikirkan soal pengecasan luaran.

Menelusuri lebuh raya hingga ke puncak Genting Highlands membuktikan bahawa WEY G9 Hi4 HEV bukan sekadar MPV keluarga, sebaliknya sebuah karya kejuruteraan gaya hidup yang serba lengkap.

GALERI

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here