
Setelah dilancarkan di Korea awal tahun lalu, Hyundai kini membawakan model Staria Electric untuk pasaran Eropah.
Ia bakal bersaing dengan VW ID. Buzz dari segi harga, namun memiliki kelebihan dimensi yang jauh lebih besar mengalahkan model seperti Ford E-Tourneo Custom, VW e-Caravelle, Peugeot e-Traveller dan Mercedes-Benz VLE.
Van elektrik ini dikuasakan oleh motor elektrik tunggal berkuasa 215 hp yang dipadankan dengan pek bateri 84 kWh.
Jarak gerak WLTP adalah sejauh 430 km, sementara seni bina elektrik 800V membolehkan Staria Electric dicas dari 10-80% dalam masa 20 minit.
Dari segi penampilan, Staria Electric membawakan rekaan bampar hadapan yang disemak semula, di mana ia turut menyediakan port pengecasan dan active shutter pada bahagian bawah.
Selain itu, Staria Electric turut mendapat rim aerodinamik.
Terdapat tiga trim disediakan iaitu Trend, Prime dan Calligraphy.
Versi asas mendapat unit lampu LED, skrin paparan 12.3 inci berkembar, pemanas tempat duduk hadapan, penderia parkir, kamera undur, ciri ADAS dan susun atur 9 tempat duduk.
Versi Prime pula mendapat ciri navigasi, bantuan lebuh raya, penyesuai V2L, pintu gelongsor dan tailgate elektrik, kaca privasi, upholsteri kulit dan fungsi pengudaraan tempat duduk hadapan.
Sementara Staria Electric Calligraphy pula mendapat susun atur 7-tempat duduk di mana baris tengah mendapat fungsi pemanas, pengudaraan dan rehat, sistem pencahayaan ambien, sistem audio Bose, kamera 360 darjah, upholsteri kulit Nappa serta sistem komunikasi Passenger View & Talk.
Varian Calligraphy juga mendapat bampar hadapan rekaan berbeza, lampu LED Parametric Pixel, serta pilihan warna Galaxy Maroon.
Ruang kargo pula boleh mencapai kapasiti sehingga 1,303 liter dengan ruang frunk 24 liter.
Di Jerman, Hyundai Staria Electric dijual pada harga bermula dari €57,450 (RM270 ribu) sehingga €66,950 (RM315 ribu).







