
Kadar tambang perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bakal diumumkan menjelang akhir tahun ini, menurut Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL).
MRL menyatakan penetapan kadar tambang ECRL akan mengambil kira kepentingan rakyat, kemampuan pengguna serta tawaran nilai dan kualiti perkhidmatan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan di Facebook rasmi ECRL, pihaknya sedia maklum mengenai kadar tambang perkhidmatan yang kembali tular di media sosial baru-baru ini.
Jelasnya, maklumat mengenai kadar tambang tersebut adalah tidak tepat dan tidak pernah disahkan oleh mana-mana pihak berkuasa.

“Sebarang kadar tambang rasmi bagi perkhidmatan penumpang ECRL hanya akan diumumkan oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia setelah proses penilaian dan kelulusan berkaitan dimuktamadkan.
“MRL amat menghargai keterujaan serta minat orang ramai terhadap perkhidmatan ECRL. Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang andaian atau kesimpulan berdasarkan maklumat yang tidak disahkan, sebaliknya merujuk kepada pengumuman melalui saluran rasmi Kementerian Pengangkutan Malaysia, MRL dan ECRL,” ujarnya.
Apabila beroperasi ECRL beroperasi, perjalanan antara Kota Bharu dan Gombak dijangka mengambil masa sekitar 4-jam, manakala dari Kuala Terengganu ke Gombak sekitar 3-jam dan Kuantan ke Gombak sekitar 1 jam 35 minit.
































