
Sebuah tren kargo Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dengan kapasiti muatan sehingga 3,150 tan mampu menggantikan kira-kira 79 lori bagi membawa jumlah kargo yang sama, sekali gus menyokong usaha kerajaan menggalakkan peralihan pengangkutan barangan daripada jalan raya kepada rel.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata tren kargo ECRL yang boleh membawa hingga 45 gerabak itu berpotensi mengurangkan kesesakan jalan raya, pelepasan karbon serta risiko kemalangan melibatkan kenderaan berat.
Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan tidak berhasrat menghentikan sepenuhnya pengangkutan kargo menggunakan lori, sebaliknya mengutamakan pendekatan pengangkutan antara mod dengan rel digunakan bagi perjalanan jarak jauh, manakala lori terus memainkan peranan dalam penghantaran peringkat awal dan akhir.
“Peralihan kargo daripada jalan raya kepada rel dalam tempoh lima hingga 10 tahun pertama operasi ECRL akan bergantung kepada perkembangan permintaan pasaran serta kapasiti perkhidmatan susulan pelaksanaan operasi kargo ECRL yang dijadualkan bermula pada tahun 2027.

“Pelaksanaan secara berperingkat ini dijangka memperkukuh rangkaian logistik negara serta meningkatkan kecekapan dan daya saing pengangkutan kargo berasaskan rel,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, pada Khamis.
Beliau menjawab soalan Young Syefura Othman (PH-Bentong) mengenai sasaran peralihan pengangkutan kargo daripada jalan raya kepada rel selepas ECRL beroperasi, termasuk peratusan peralihan dalam tempoh lima hingga 10 tahun pertama operasi dan insentif kepada syarikat.
Hasbi berkata kejayaan peralihan itu tidak hanya dinilai berdasarkan satu angka peratusan, tetapi juga peningkatan jumlah kargo menggunakan rel, penyertaan pemilik kargo, penggunaan kapasiti tren serta pengurangan kebergantungan kepada lori bagi perjalanan jarak jauh.
Menjawab soalan tambahan Young Syefura mengenai tempoh perjalanan dan kos pengangkutan kargo ECRL berbanding lori, Hasbi berkata tren kargo ECRL berkeupayaan beroperasi pada kelajuan sehingga 80 kilometer sejam, sekali gus dijangka menawarkan perjalanan lebih lancar dan konsisten berbanding pengangkutan jalan raya yang dipengaruhi kesesakan trafik.
“Struktur kadar tambang kargo ECRL akan mengambil kira keperluan memastikan perkhidmatan itu kompetitif berbanding pengangkutan jalan raya, termasuk keseluruhan kos logistik seperti pengendalian kargo dan penghantaran ke destinasi akhir,” katanya.
Mengenai kesalinghubungan dengan rangkaian Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan pelabuhan utama, Hasbi berkata kerajaan mengambil kira aspek integrasi menerusi Stesen Temerloh dan Stesen Bandar Serendah, selain pembangunan Pintasan Serendah yang menghubungkan rangkaian KTMB terus ke Pelabuhan Klang.
Beliau berkata kesalinghubungan itu dijangka meningkatkan kecekapan pengangkutan kargo serta menyokong penyepaduan rangkaian rel, pelabuhan dan logistik darat bagi melancarkan pergerakan barangan dari lokasi asal ke destinasi akhir.



























