
CFMOTO terus mengembangkan penawarannya di Eropah dengan memasuki segmen skuter menerusi pengenalan model baharu 125SC-S.
Ia merupakan sebuah skuter 125cc berpenampilan sporty yang disasarkan kepada pengguna bandar dan pinggir bandar.
Model baharu itu menandakan debut pengeluar motosikal China tersebut dalam pasaran skuter Eropah, dengan pembangunan yang memfokuskan kepada kepraktisan harian, prestasi mesra pengguna, ciri keselamatan dan teknologi ketersambungan moden.
Kuasa dijana oleh enjin 125cc silinder tunggal baharu yang dibangunkan sendiri oleh CFMOTO, lengkap dengan penyejukan cecair dan konfigurasi empat injap.
Walaupun angka kuasa rasmi masih belum didedahkan, syarikat itu mendakwa enjin berkenaan direka untuk menawarkan penghantaran kuasa yang lancar dan responsif, di samping tahap kecekapan yang sesuai untuk kegunaan harian.
Dari segi rekaan, 125SC-S tampil lebih agresif berbanding kebanyakan skuter komuter konvensional.
Panel badan yang tajam serta lampu utama LED dwi-lensa memberikan imej yang lebih sporty, manakala ketinggian tempat duduk 780 mm menjadikannya mesra untuk pelbagai kategori penunggang.
Aspek keselamatan turut diberi perhatian menerusi penggunaan ABS dua saluran, kawalan cengkaman (traction control), sistem pencahayaan LED berintensiti tinggi serta Emergency Stop Signal (ESS) yang akan mengaktifkan lampu brek ketika membrek secara kecemasan bagi memberi amaran kepada kenderaan di belakang.
CFMOTO turut menawarkan dua varian untuk 125SC-S. Varian lebih tinggi dilengkapi penyerap hentak belakang jenis gas-reservoir dan pemanas pemegang yang membantu meningkatkan keselesaan ketika melalui permukaan jalan tidak rata atau menunggang dalam cuaca sejuk.
Dari sudut praktikaliti, ruang simpanan bawah tempat duduk berkapasiti 30 liter mampu memuatkan sebuah topi keledar penuh (full-face) bersama sebuah topi keledar separuh.
Selain itu, terdapat dua ruang simpanan hadapan tertutup serta port pengecas USB untuk kegunaan peranti elektronik ketika dalam perjalanan.
Ruang kokpit pula menampilkan paparan TFT bersaiz 6.2 inci, disokong teknologi Bluetooth dan sistem akses tanpa kunci menggunakan Near Field Communication (NFC).
Turut ditawarkan ialah fungsi ketersambungan pintar dan kemas kini perisian secara over-the-air (OTA).
Pengenalan 125SC-S menunjukkan hala tuju baharu CFMOTO di Eropah, sekali gus membawa jenama itu memasuki segmen skuter 125cc yang ketika ini dikuasai oleh beberapa pengeluar mapan.
Setakat ini, CFMOTO masih belum mengumumkan harga rasmi, spesifikasi teknikal penuh atau tarikh pelancarannya di pasaran United Kingdom.






