Utama Berita Automotif CFMoto fail 11 paten baharu enjin V4, termasuk versi turbo

CFMoto fail 11 paten baharu enjin V4, termasuk versi turbo

7

CFMoto mendedahkan lebih banyak butiran mengenai enjin V4 yang bakal menggerakkan superbike V4 SR-RR menerusi 11 paten baharu yang difailkan di China.

Menariknya, salah satu paten turut menggambarkan varian enjin dengan unit pengecas turbo!

Enjin berkapasiti 997 cc ini menggunakan konfigurasi V4 dengan sudut silinder 90 darjah dan menghasilkan sekurang-kurangnya 210 hp, selain mampu mencapai putaran maksimum 14,500 rpm.

Ia turut menampilkan aci engkol berputar songsang seperti Ducati Panigale V4 bagi meningkatkan kelincahan ketika mengambil selekoh.

Antara ciri teknikal yang didedahkan termasuk sistem corong kemasukan udara boleh laras (variable intake funnel), penggunaan enjin sebagai struktur sokongan casis, serta laluan udara Ram-Air yang disalurkan terus melalui bahagian kepala stereng.

CFMoto turut memilih sistem drag lever untuk operasi injap, berbeza dengan Ducati yang menggunakan sistem desmodromic dan Aprilia yang masih menggunakan bucket tappet konvensional.

Reka bentuk aci sesondol pula menggunakan kombinasi rantai dan gear bagi meningkatkan ketepatan pemasaan serta ketahanan.

Paling menarik, satu paten menunjukkan konfigurasi turbocharger yang dipasang terus pada kepala silinder.

Bagaimanapun, belum dapat dipastikan sama ada enjin V4 turbo itu dibangunkan untuk motosikal berprestasi tinggi seperti Kawasaki Ninja H2 atau bagi kegunaan kenderaan off-road empat roda keluaran CFMoto.

Setakat ini, projek CFMoto V4 SR-RR sudah memasuki fasa ujian jalan raya. Model prototaip yang dipertontonkan di EICMA sebelum ini dilengkapi sayap aero aktif elektronik, suspensi elektronik dan sistem ekzos titanium Akrapovič.

CFMoto turut menyasarkan kelajuan maksimum melebihi 300 km/j, sekali gus meletakkannya dalam kelompok superbike premium yang selama ini dikuasai pengeluar Eropah dan Jepun.

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here