
Paten yang didaftarkan oleh Ducati baru-baru ini memperlihatkan beberapa angka penting berkait rapat dengan motosikal elektrik yang sedang dibangunkan oleh jenama itu.
Menurut laporan, motor elektrik yang dipasang pada motosikal tersebut mampu berputar sehingga 18,500 rpm.
Sistem gear reduction kemudian menurunkan angka rpm dan menggandakan tork sebelum memacu roda belakang menerusi rantai konvensional.
Buat masa ini, tiada sebarang petunjuk tentang transmisi berbilang gear, hanya sistem pengurangan untuk menjadikan rpm tinggi yang lebih berguna untuk tunggangan.
Menariknya, Ducati cuba untuk menjadikan keseluruhan unit ini lebih kompak, di mana penderia kedudukan rotor tidak dipasang terus pada aci motor, tetapi pada gear atau aci pengurangan.
Gear juga boleh disusun dalam beberapa satah selari, membolehkan unit rangkaian kuasa itu dipakejkan dengan lebih kompak tanpa menjadikan motosikal lebih lebar.
Ini merupakan satu perkara yang harus dipertimbangkan memandangkan sebuah EV memerlukan ruang untuk sistem bateri, penyejukan, penyongsang dan pelbagai komponen lain.
Penjimatan ruang yang ditawarkan ini memberikan lebih kebebasan untuk membina motosikal elektrik yang lebih fokus kepada penunggang.
Ducati tidaklah bermula dengan kertas kosong, ini kerana model V21L sudah pun wujud sebagai prototaip perlumbaan MotoE, atau senang cerita sebuah makmal bergerak.
Hasil daripada ilmu pembangunan V21L boleh diguna pakai untuk menghasilkan sebuah produk motosikal elektrik yang lebih lengkap dan menepati jiwa sebuah jentera Ducati.
Adakah ia bakal menjadi sebuah superbike? Atau Hypermotard elektrik?


































