
Sebuah studio reka bentuk dari Australia, Clandestine Design Group memperkenalkan konsep motosikal elektrik Cellcius C-01 Hypersports yang tampil dengan idea unik menerusi penggunaan bateri modular yang boleh ditanggalkan.
Berbeza dengan kebanyakan motosikal elektrik yang membawa keseluruhan pek bateri pada setiap masa, C-01 membolehkan penunggang memilih jumlah bateri yang diperlukan mengikut perjalanan harian.
Bateri modular sehingga 24 kWh
C-01 menggunakan sistem Hex-Core yang terdiri daripada lapan modul bateri boleh tanggal, dengan setiap satu menawarkan kapasiti 3 kWh.
Jika hanya dua modul digunakan, motosikal itu memiliki kapasiti 6 kWh dan berat sekitar 160kg. Namun apabila kesemua lapan modul dipasang, kapasiti meningkat kepada 24 kWh, menghasilkan kuasa sehingga 195hp dengan berat keseluruhan mencecah 220kg.
Menurut perekanya, konsep ini memberi lebih fleksibiliti kerana penunggang tidak perlu membawa bateri berlebihan jika hanya digunakan untuk perjalanan jarak dekat atau dalam bandar.
Boleh cas di rumah, juga jadi ‘power bank’
Satu lagi kelebihan utama adalah bateri tersebut boleh dikeluarkan dan dibawa masuk ke dalam rumah untuk dicas menggunakan stesen dok khas.
Lebih menarik, setiap modul turut menyokong fungsi Vehicle-to-Load (V2L) yang membolehkannya digunakan sebagai sumber kuasa mudah alih untuk mengecas peranti elektronik atau kegunaan aktiviti luar.
Sarat teknologi premium
Selain bateri modular, C-01 turut menampilkan komponen premium seperti pacuan aci komposit karbon, suspensi boleh laras penuh Öhlins, sistem brek Brembo serta reka bentuk penyejukan pasif berasaskan kesan Venturi bagi mengurangkan kebergantungan kepada kipas penyejuk konvensional.
Reka bentuknya pula mengikut konsep yang digelar Technical Brutalism, dengan modul bateri dipamerkan secara terbuka sebagai sebahagian daripada identiti visual motosikal tersebut.
Masih di peringkat konsep
Walaupun berjaya meraih pengiktirafan di Tokyo Design Awards 2026, Cellcius C-01 masih sekadar sebuah konsep tanpa sebarang pelan pengeluaran diumumkan setakat ini.
Bagaimanapun, idea bateri modular yang membolehkan penunggang memilih kapasiti, berat dan jarak perjalanan mengikut keperluan dilihat berpotensi menjadi antara penyelesaian menarik untuk masa depan motosikal elektrik.































