Utama Berita Automotif Mahindra Bolero Bold Edition: ‘G-Class bajet’ kini tampil lebih premium

Mahindra Bolero Bold Edition: ‘G-Class bajet’ kini tampil lebih premium

4

Pasaran India ada menawarkan pelbagai pilihan SUV lasak ringkas pada harga yang mampu milik. 

Selain Mahindra Thar yang sering dianggap sebagai alternatif kepada Jeep Wrangler, Mahindra turut menawarkan sebuah SUV yang digelar sebagai versi mesra bajet kepada Mercedes-Benz G-Class iaitu Mahindra Bolero.

Kini, SUV berasaskan ladder-frame itu menerima edisi baharu dikenali sebagai Bold Edition, yang pada asasnya merupakan pakej aksesori dengan sentuhan kemasan gangsa pada bahagian luaran dan dalaman.

Mahindra Bolero telah berada di pasaran sejak tahun 2000, manakala generasi ketiga semasa diperkenalkan pada 2011 sebelum menerima kemas kini facelift terbaharu pada 2025.

Versi Bold Edition tampil lebih menyerlah menerusi kemasan gangsa pada gril hadapan, kemasan lampu kabus, pelindung sisi badan, penutup cermin sisi dan rel bumbung.

Ia turut dipadankan dengan rim aloi lima jejari berkembar yang sepadan dengan tema warna tersebut.

Di bahagian kabin, tempat duduk kemasan kulit sintetik berwarna hitam menerima sentuhan aksen gangsa bersama permaidani lantai yang padan.

Dari aspek praktikaliti, pakej ini turut menambah kamera undur yang dipaparkan melalui skrin sistem infotainmen.

Jangan mengharapkan tahap kemewahan atau teknologi setanding Mercedes-Benz G-Class, namun Bolero tetap menawarkan ruang untuk tujuh penumpang bersama ruang simpanan yang mencukupi.

Di sebalik perubahan kosmetik, Mahindra Bolero Bold Edition masih mengekalkan enjin diesel tiga silinder 1.5 liter yang menghasilkan 76hp dan 210Nm tork.

Walaupun tampil dengan imej lasak, kuasa hanya disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi manual lima kelajuan tanpa pilihan pacuan empat roda.

Kemas kini terkini yang diperkenalkan pada model sepanjang 3,995 mm ini turut membawa reka bentuk gril yang lebih moden, rim 15 inci potongan berlian untuk varian tertinggi serta pilihan warna badan yang lebih pelbagai, tanpa mengubah siluet berkotak yang menjadi identitinya.

Bolero juga dilengkapi sistem infotainmen bersaiz 9 inci yang menyokong Bluetooth serta port pengecas USB-C.

Mahindra menawarkan Bold Edition sebagai pakej aksesori yang boleh didapati di pusat jualan sah seluruh India. Harga pakej tersebut masih belum diumumkan.

Sebagai rujukan, Mahindra Bolero standard dijual pada harga antara ₹857,000 (sekitar RM36,824) hingga ₹999,000 (sekitar RM42,926) bergantung kepada varian.

Sebagai perbandingan, Mercedes-Benz G-Class di India bermula pada harga ₹25.5 juta (sekitar RM1.10 juta), menjadikannya kira-kira 27 kali lebih mahal berbanding Bolero.

Dengan imej yang mengingatkan kepada G-Class tetapi pada harga yang jauh lebih mampu milik, tidak hairanlah Bolero terus menjadi pilihan popular dalam kalangan pembeli SUV lasak di India.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here