
Mercedes-Benz G-Class merupakan antara pilihan utama bagi mereka yang mahukan sebuah SUV mewah dengan keupayaan pemanduan off-road.
Namun bila G-wagen sudah menjadi satu pemandangan yang biasa, anda boleh pertimbangkan model ini: trak Unimog!
Menerusi kerjasama dengan Hellgeth Engineering, Mercedes-Benz menghasilkan sebuah model binaan sekali (one-off) dengan pakej yang serba mewah untuk meredah laluan off-road.
Antara perubahan besar yang dibuat ialah enjin diesel enam silinder sebaris 7.7 liter OM 936 berkuasa 297 hp bagi menggantikan enjin 4-silinder 5.1 liter (228 hp).
Enjin enam silinder ini dikatakan mampu menawarkan kuasa yang lebih baik, serta pengendalian transmisi yang lebih lancar dalam masa yang sama mengekalkan keupayaan off-road trak yang sebenar.
Untuk bahagian luar, Unimog ini diberikan beberapa perubahan seperti jeriji yang disemak semula, side sill, panel bed kustom, cat matte grey, rim ‘beadlock’ 20 inci, serta unit pencahayaan LED yang lebih moden.
Penggunaan kamera digital MirrorCam menggantikan peranan cermin tradisional yang dikatakan dapat membantu pemandu mengendalikan trak ini di kawasan yang lebih sempit serta laluan yang lebih mencabar.
Kabin Unimog pula diberikan balutan kulit gred tinggi berserta kemasan jahitan kontras, sistem pencahayaan ambien LED serta alas lantai kulit.




























