
Bagi kebanyakan keluarga Malaysia, kenderaan menjadi nadi kehidupan harian, daripada perjalanan ke tempat kerja dan menghantar anak ke sekolah, hinggalah perjalanan jauh balik kampung.
Persoalan keselamatan bukan sekadar soal bilangan beg udara atau penarafan bintang, sebaliknya sejauh mana kenderaan itu direka untuk melindungi penumpangnya.
Keselamatan di jalan raya adalah tanggungjawab bersama, membabitkan cara pemanduan, keadaan infrastruktur dan pemilihan kenderaan.
Memahami keupayaan dan had sistem keselamatan kenderaan adalah penting dalam membuat pilihan tepat.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, tumpuan industri automotif beralih kepada pencegahan kemalangan. Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) seperti brek kecemasan autonomi dan bantuan kekal lorong yang dahulunya eksklusif untuk model premium, kini semakin meluas ditawarkan.
Bagaimanapun, teknologi ADAS hanya berfungsi menyokong pemandu dalam situasi tertentu mengikut had operasi ditetapkan.
Apabila kemalangan berlaku, struktur badan, tali pinggang keledar, beg udara dan penyandar kepala memainkan peranan saling melengkapi untuk mengurus daya hentaman dan mengurangkan risiko kecederaan.
Keberkesanan sistem berkenaan banyak bergantung kepada jenis dan tahap perlanggaran, penggunaan tali pinggang keledar yang betul serta kedudukan penumpang.
Lebih penting, ia bermula daripada aspek yang tidak terlihat – iaitu bahan di sebalik badan kenderaan serta kaedah pembuatan yang konsisten.

Bagi melindungi penumpang, beberapa bahagian kenderaan direka untuk berubah bentuk secara terkawal bagi menyerap tenaga hentaman, manakala bahagian lain diperkukuh untuk mengekalkan ruang kabin.
Keluli ultra-kekuatan tinggi dan keluli tempa panas lazimnya digunakan pada tiang tengah, ambang sisi dan rel bumbung.
Dalam Kumpulan Hyundai Motor, pembangunan gred keluli dijalankan Hyundai Steel bersama jurutera kenderaan bagi memenuhi keperluan struktur tersebut.
Proses pembuatan turut memainkan peranan. Teknologi tailor-welded blanks (TWB) menggabungkan kepingan keluli berbeza gred dan ketebalan yang dikimpal laser sebelum dibentuk, menjadikannya lebih kuat di kawasan tumpuan daya hentaman dan lebih ringan di bahagian lain.
Manakala proses tempa panas yang memanaskan keluli melebihi 900 darjah Celsius sebelum ditekan dan disejukkan dengan pantas, menghasilkan komponen berkekuatan tinggi untuk kawasan struktur terpilih.
Bagi memastikan tahap perlindungan, ujian perlanggaran dijalankan di Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Namyang Hyundai di Korea Selatan, antara fasiliti utama kumpulan itu.
Hyundai menggunakan anak patung ujian perlanggaran – THOR yang dilengkapi 157 sensor dan direka menyerupai manusia sebenar bagi menilai kesan daya hentaman terhadap penumpang serta menambah baik struktur dan sistem penahan.
Prinsip berkenaan diterjemahkan pada model Hyundai SANTA FE. Badannya menggunakan keluli generasi ketiga yang menggabungkan kekuatan tinggi dan kebolehbentukan, dengan penggunaan komponen tempa panas meningkat daripada 13.2 peratus kepada 15.3 peratus berbanding model terdahulu.
Perubahan itu meningkatkan purata kekuatan tegangan badan sebanyak 4.5 peratus, daripada 67 kepada 70 kgf/mm². Kawasan terpilih turut menggabungkan TWB gred 150K dengan proses tempa panas.

Bagi impak hadapan, sub-rangka SANTA FE direka untuk mengagihkan daya hentaman ke seluruh struktur, manakala ruang enjin multi-skeletal membantu menghilangkan tenaga hentaman dan rasuk bampar aluminium menyumbang kepada penyerapan impak tanpa pertambahan berat.
Bagi impak sisi, model itu diperkukuh dengan tetulang rentas tempat duduk, tetulang perantara, dinding sekat tambahan dan bahagian tiang tempa panas lebih tebal bagi mengekalkan ruang penumpang.
Model berkenaan menerima anugerah IIHS TOP SAFETY PICK+ 2026 serta penarafan lima bintang ANCAP pada 2024, namun penarafan tersebut perlu dirujuk berdasarkan tahun model, spesifikasi pasaran dan protokol ujian yang dinilai.
Pengguna dinasihatkan untuk menilai keperluan keluarga, memastikan tali pinggang keledar dan penyandar kepala boleh dilaras dengan sesuai serta pemasangan tempat duduk keselamatan kanak-kanak mengikut arahan pengeluar.
Pembeli juga disaran merujuk keputusan ujian perlanggaran daripada badan bebas dan meneliti prestasi mengikut kategori, bukan hanya penarafan keseluruhan, selain memastikan penarafan itu terpakai untuk spesifikasi pasaran tempatan.
Perbezaan kelengkapan keselamatan mengikut varian perlu diberi perhatian, termasuk bilangan beg udara dan teknologi ADAS.
Pengguna turut dinasihatkan memahami had sistem menerusi demonstrasi dan buku panduan pemilik, serta mematuhi jadual penyelenggaraan dan menangani segera sebarang amaran berkaitan keselamatan.
Keselamatan sesebuah kenderaan tidak ditakrifkan oleh satu ciri, bahan atau keputusan ujian semata-mata.
Sebaliknya bergantung kepada bagaimana struktur, sistem penahan dan teknologi sokongan pemandu berfungsi bersama, disokong pembuatan konsisten, penyelenggaraan betul dan pemanduan berhemah.


























