
Autoguard Group Asia-Pacific (APAC) dan Persatuan Industri Kenderaan Elektrik Indonesia (PERIKLINDO) secara rasmi memeterai Memorandum Persefahaman (MoU), sekali gus membuka laluan kepada Autoguard menjadi penyedia waranti kenderaan elektrik (EV) pilihan persatuan berkenaan.
Pemeteraian MoU itu berlangsung dalam satu majlis rasmi sempena Persidangan Kenderaan Elektrik PERIKLINDO (PEVC) 2026 di Mövenpick Hotel Jakarta City Centre.
Dengan kerjasama dengan persatuan EV terbesar di Indonesia, Autoguard Group APAC meletakkan dirinya sebagai rakan kongsi selepas jualan pilihan utama bagi pengeluar peralatan asal (OEM), pengimport kenderaan serta ekosistem automotif yang lebih luas yang mencari penyelesaian waranti lanjutan.
Lebih penting, MoU berkenaan mencerminkan keupayaan Autoguard untuk menyokong dan memperluas skala seiring dengan pasaran EV di rantau ini yang sedang berkembang pesat.
Beribu pejabat serantau di Kuala Lumpur, Autoguard Group APAC menyasarkan untuk berkhidmat kepada pasaran Asia Pasifik yang kekal sebagai fokus utama strategi pengembangan globalnya.
Sejak pembukaan pejabat khusus pertamanya bagi rantau APAC pada awal tahun ini, syarikat itu terus memberi tumpuan kepada peningkatan kualiti perkhidmatan untuk pengguna akhir, di samping membuka peluang pendapatan baharu kepada rangkaian pengedar kenderaan.
Pengarah Pembangunan Perniagaan Autoguard Group APAC, Jamie Francis Morais berkata, MoU itu mencerminkan komitmen syarikat terhadap rantau yang sedang berkembang pesat.
“Kerjasama dengan tonggak industri seperti PERIKLINDO untuk membangunkan penyelesaian waranti EV khusus membuktikan misi berterusan kami untuk menjadikan Autoguard sebagai rakan kongsi selepas jualan pilihan yang dipercayai.
“Berbekalkan pelaburan teknologi terkini dalam penyelarasan proses tuntutan dan kepakaran yang dimiliki, komitmen untuk memperluas peluang melalui penyelesaian waranti global dan tumpuan berterusan terhadap kecemerlangan perkhidmatan kepada pengguna akhir.
“Kami berada pada kedudukan yang kukuh untuk memberikan nilai tambah yang luar biasa kepada pasaran selepas jualan automotif, lebih-lebih lagi dengan semakin pesatnya peralihan ke arah EV,” katanya.
Majlis pemeteraian MoU berkenaan menjadi antara acara utama PEVC 2026, persidangan industri kenderaan elektrik terkemuka di Indonesia yang dianjurkan PERIKLINDO dengan kerjasama Gemalindo.
Dianjurkan di Jakarta, persidangan itu menghimpunkan 500 wakil utama termasuk penggubal dasar, pemimpin korporat, pelabur modal teroka serta delegasi antarabangsa dari China, Taiwan, Korea Selatan dan pasaran utama lain.
Bertemakan The Future of a Clean and Efficient Mobility PEVC 2026 direka sebagai forum strategik antarabangsa bagi mencorakkan masa depan mobiliti hijau, memperkukuh peranan Indonesia dalam rantaian bekalan EV global dan memacu pembangunan ekonomi berasaskan elektrifikasi.
Forum itu turut mempamerkan teknologi EV terkini serta memperkukuh rangkaian perkongsian perniagaan merentasi rantaian nilai.


























