
Tesla mencuri tumpuan apabila memperkenalkan Robotaxi elektrik, Cybercab menerusi sesi pratonton khas di Kuala Lumpur.
Berbeza daripada model sedia ada, Cybercab tampil futuristik dengan hanya dua tempat duduk, pintu rama-rama dan paling menarik — langsung tiada stereng, pedal minyak atau brek.
Kenderaan itu digerakkan sistem Tesla Vision yang menggunakan lapan kamera untuk membaca persekitaran sekeliling.

Ketua Hal Ehwal Awam Tesla, Hadri Haris berkata, Cybercab dibangunkan dengan teknologi pemanduan autonomi Tahap 4, membolehkan ia memandu sendiri tanpa pemantauan pemandu dalam kawasan operasi ditetapkan.
“Ia berbeza dengan sistem Full Self-Driving Supervised sedia ada yang masih perlukan pemandu bersedia ambil alih.
“Cybercab menggunakan sistem brek elektronik dan dibina dengan konsep Unboxed Process untuk pengeluaran lebih cekap,” jelasnya.
Menurutnya, Tesla sedang membuat persediaan untuk membawa teknologi itu ke Malaysia, namun masa pelaksanaan masih belum dimuktamadkan.
Untuk rekod, Cybercab mula diuji secara terhad di Austin, Texas pada September lalu menerusi tempahan aplikasi Robotaxi.
Sementara itu, Pengurus Serantau Tesla Malaysia, Karen Teo berkata, kehadiran Tesla di Malaysia diperkukuh dengan ekosistem lengkap termasuk jualan, servis dan rangkaian lebih 180 lokasi pengecasan Supercharger serta Destination Charger.

Lebih canggih, kenderaan Tesla kini dilengkapi pembantu AI, Grok yang boleh diaktifkan dengan arahan suara Hey Grok untuk navigasi, muzik dan carian lokasi.
“Macam berbual dengan AI di telefon, tapi terus di dalam kereta,” kata Karen.
Barisan model Tesla di Malaysia ketika ini merangkumi Model 3, Model Y dan Model YL enam tempat duduk, dengan kemas kini perisian secara over-the-air.
Bagaimanapun, pameran Cybercab ini masih di peringkat pengenalan teknologi dan belum melibatkan perkhidmatan Robotaxi komersial di negara ini.





























