
Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET) memeterai kerjasama strategik dengan TVETMARA bagi memperkukuh latihan teknikal kenderaan elektrik (EV) dan membangunkan bakat tempatan selari dengan pertumbuhan industri EV di Malaysia.
Melalui Surat Hasrat ditandatangani, kedua-dua pihak akan membangunkan program latihan khusus EV yang selaras dengan keperluan industri serta membuka peluang latihan amali, latihan industri dan program bakat perantis.
Kerjasama ini turut menyaksikan pelancaran e.MAS Electrified Excellence Competition – pertandingan sulung untuk juruteknik EV dan penasihat servis mempamerkan kemahiran teknikal, kebolehan amali dan pembentangan berkaitan teknologi EV.
Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang berkata, kerjasama ini penting bagi memastikan Malaysia mempunyai tenaga kerja mahir untuk menyokong peningkatan penggunaan EV.
“Apabila semakin ramai rakyat Malaysia beralih kepada kenderaan elektrik, kita perlu tenaga kerja yang mempunyai kemahiran tepat.
“Usaha ini bukan sekadar pendedahan teknologi, tetapi memberi pengalaman amali sebenar dan membina keyakinan mereka untuk bekerja dalam industri,” katanya.

Beliau menambah, institusi TVET memainkan peranan penting dalam melahirkan generasi baharu tenaga teknikal.
Melalui kerjasama dengan TVETMARA, pelajar dapat lebih dekat dengan keperluan industri dan memperoleh laluan jelas daripada pembelajaran ke kerjaya dalam bidang EV.
Inisiatif ini dilaksanakan ketika jenama Proton e.MAS terus berkembang dengan lebih 6,000 kenderaan didaftarkan sehingga 31 Ogos lalu.
Dengan peningkatan jumlah EV di jalan raya, pembangunan tenaga kerja selepas jualan yang berkemahiran tinggi dilihat semakin kritikal bagi mengekalkan standard perkhidmatan dan menyokong pelanggan.
Jangka panjang, program ini bertujuan melahirkan lebih ramai juruteknik EV bertauliah dan menyokong peralihan lancar daripada pendidikan TVET kepada kerjaya dalam industri EV di Malaysia.































