Utama Berita Automotif SAIC Motor lancar MG ZS baharu CKD, harga bermula RM103,900

SAIC Motor lancar MG ZS baharu CKD, harga bermula RM103,900

33

SAIC Motor Malaysia secara rasmi melancarkan MG ZS generasi baharu yang dipasang secara tempatan (CKD) dengan dua pilihan trenkuasa, iaitu MG ZS 1.5 Turbo dan MG ZS Hybrid+.

SUV segmen-B itu ditawarkan pada harga RM103,900 bagi varian 1.5 Turbo manakala varian Hybrid+ dijual pada harga RM109,900 atas jalan (tidak termasuk insurans) bagi pasaran Semenanjung Malaysia.

Sempena pelancaran, pelanggan yang membuat tempahan awal akan menikmati manfaat bernilai RM3,000 serta pakej penyelenggaraan percuma selama lima tahun.

Pembeli varian 1.5 Turbo turut layak menikmati pakej pembiayaan khas menerusi kerjasama dengan Hong Leong Bank dan Bank Rakyat sehingga 31 Disember 2026, manakala pembeli varian Hybrid+ ditawarkan ganjaran bonus hujung tahun sebanyak RM3,000.

Dari segi reka bentuk, MG ZS baharu tampil lebih moden dan sporty dengan:

  • lampu utama Connected Hunter Eyes
  • gril dengan aksen hitam
  • lampu belakang LED
  • spoiler belakang
  • rim aloi 18 inci

Model berkenaan ditawarkan dalam empat pilihan warna iaitu:

  • Flare Red,+
  • Silver
  • Andes Grey
  • York White

Ruang kabin menampilkan pendekatan ergonomik dengan kemasan dalaman serba hitam dan tempat duduk kulit sintetik berlubang dengan fungsi pengudaraan untuk tempat duduk hadapan.

Ia turut dilengkapi:

  • bumbung panoramik
  • skrin infotainmen terapung 12.3 inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar
  • paparan kluster instrumen digital penuh 12.3 inci

Dari segi kepraktisan, MG ZS menyediakan 30 ruang penyimpanan dalam kabin dengan ruang but berkapasiti 443 liter yang boleh diperluas sehingga 1,457 liter apabila tempat duduk belakang dilipat.

Aspek pengendalian disokong sistem suspensi gabungan bahan ringan dan tegar bagi keseimbangan keselesaan serta kestabilan, selain tiga mod pemanduan iaitu Eco, Normal dan Sport.

Bagi aspek keselamatan, model itu menerima penarafan lima bintang ANCAP dan dilengkapi sistem bantuan pemanduan MG PILOT yang menawarkan 16 fungsi keselamatan termasuk Kawalan Lampu Pintar dan Kawalan Jelajah Pintar.

Pemilik juga boleh mengakses beberapa fungsi kenderaan menerusi aplikasi MG iSMART termasuk ciri kemasukan tanpa kunci menggunakan telefon pintar.

Bagi varian petrol, MG ZS 1.5 Turbo dijana enjin 1.5 liter turbo suntikan terus binaan aloi penuh yang menghasilkan kuasa maksimum 170PS (125kW) dengan tork 275Nm, dipadankan bersama transmisi CVT lapan kelajuan.

Model itu mencatatkan penggunaan bahan api gabungan 6.9 liter bagi setiap 100 kilometer dengan kapasiti tangki bahan api 55 liter.

Sementara itu, MG ZS Hybrid+ menggabungkan enjin 1.5 liter empat silinder kitaran Atkinson dengan motor elektrik 100kW serta bateri nikel-mangan-kobalt (NMC) berkapasiti 1.83kWh.

Sistem berkenaan menghasilkan kuasa gabungan 215PS (158kW) dan tork maksimum 465Nm, dipadankan transmisi hibrid khusus tiga kelajuan (DHT), dengan pecutan 0 hingga 100 kilometer sejam dalam tempoh 8.7 saat.

Varian hibrid itu mencatatkan penggunaan bahan api 4.7 liter bagi setiap 100 kilometer dengan kapasiti tangki 41 liter dan jarak pemanduan maksimum sehingga 870 kilometer.

Sistem hibrid berkenaan menawarkan lapan mod operasi kuasa, tidak memerlukan pengecasan luaran dan mampu bergerak menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya pada kelajuan sehingga 80 kilometer sejam dalam keadaan pemanduan tertentu.

Dari segi jaminan, SAIC Motor Malaysia menawarkan pakej waranti lanjutan kepada 3,000 pelanggan pertama, merangkumi waranti kenderaan tujuh tahun tanpa had perbatuan dan waranti bateri hibrid lapan tahun atau 160,000 kilometer.

Pelanggan yang berminat boleh mengunjungi bilik pameran sah MG di seluruh negara dengan unit pandu uji MG ZS kini tersedia untuk dicuba, termasuk varian Hybrid+.

GALERI :

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here