
PRO-NET hari ini melancarkan e.MAS Impianku, pertandingan reka bentuk kenderaan elektrik (EV) berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang mengajak rakyat Malaysia menghasilkan rekaan Proton e.MAS impian mereka.
Pertandingan yang berlangsung dari 19 Oktober hingga 30 November 2026 itu menawarkan peluang kepada peserta untuk melihat rekaan terpilih mereka dijadikan model koleksi peribadi menggunakan teknologi cetakan 3D.
Bagi kategori terbuka kepada orang awam, tiga pemenang utama akan menerima model 3D bersaiz 10 inci berdasarkan rekaan masing-masing, manakala lima pemenang saguhati akan menerima model miniatur 3D eksklusif.
Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang berkata, pertandingan itu memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk mengetengahkan kreativiti serta berkongsi idea mengenai reka bentuk, ciri dan teknologi yang diinginkan pada EV masa hadapan.
“Melalui penyertaan ini, PRO-NET dapat memahami dengan lebih baik keutamaan dan pengalaman pemilikan yang diharapkan pengguna tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pertandingan kategori terbuka itu boleh disertai individu berumur 18 tahun ke atas yang menetap di Malaysia dengan menggunakan mana-mana platform AI generatif berpandukan arahan AI yang disediakan penganjur.
Peserta perlu melayari:
- laman web rasmi http://protonemasimpianku.com
- memilih “Open Category”
- menyalin contoh arahan AI di bahagian “How to Join”
- mengubah suai arahan tersebut menggunakan platform AI generatif pilihan untuk menghasilkan rekaan Proton e.MAS impianku
- memuat naik rekaan ke laman web pertandingan
- melengkapkan borang penyertaan
Semua rekaan yang memenuhi syarat akan dipaparkan dalam galeri digital untuk undian orang ramai dari 5 hingga 13 Disember 2026, sebelum 20 rekaan dengan undian tertinggi disenarai pendek untuk penilaian akhir.
Lapan pemenang akan diumumkan pada majlis rasmi PRO-NET pada Januari 2027, dengan tarikh tutup penyertaan pada 30 November 2026, jam 11.59 malam.
Selain kategori terbuka, PRO-NET turut menganjurkan e.MAS Impianku University Students Edition khusus untuk pelajar berumur 18 tahun ke atas yang sedang mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi yang diiktiraf di Malaysia dalam tempoh yang sama.
Berbeza daripada kategori terbuka, pemenang kategori universiti akan dipilih sepenuhnya oleh panel juri tanpa undian orang ramai.
Bagi kategori universiti, tempat pertama akan menerima wang tunai RM1,000, tempat kedua RM600, tempat ketiga RM400, manakala 12 Anugerah Kreativiti akan menerima barangan eksklusif Proton e.MAS.
PRO-NET menetapkan semua rekaan mestilah karya asli yang dijana menggunakan teknologi AI serta mematuhi terma dan syarat pertandingan, dan rekaan yang dihantar adalah konsep kreatif semata-mata serta tidak mewakili mana-mana model Proton e.MAS yang disahkan untuk pengeluaran pada masa hadapan.





























