Utama Berita Automotif BYD Sime Motors buka bilik pameran baharu di Rawang

BYD Sime Motors buka bilik pameran baharu di Rawang

6

BYD Sime Motors, pengedar rasmi kenderaan BYD di Malaysia, terus memperkukuh kehadiran runcitnya di Lembah Klang menerusi pembukaan bilik pameran terbaharu, BYD Rawang.

Dikendalikan BE Autohaus di bawah BE Group, cawangan baharu itu adalah bilik pameran BYD ketiga kumpulan berkenaan, sekali gus meluaskan akses kepada rangkaian kenderaan elektrik (EV) BYD buat pelanggan di Rawang dan komuniti sekitarnya.

Terletak di kawasan pesat membangun di utara Lembah Klang, BYD Rawang berkeluasan 4,298 kaki persegi di atas tapak seluas 10,803 kaki persegi, menampilkan reka bentuk berinspirasikan seni bina Eropah dengan kemasan cerah, perkadaran seimbang dan perincian halus berkonsepkan istana.

Ruang berkenaan mampu mempamerkan sehingga lima kenderaan dalam satu masa, selain dilengkapi ruang istirahat pelanggan dan bilik penyerahan kenderaan baharu yang khusus bagi memberikan pengalaman lebih selesa dari peringkat penerokaan hingga penyerahan kenderaan.

BE Group memulakan kerjasama dengan BYD pada November 2022 menerusi BYD Setia Alam yang dikendalikan BE Drive Auto, sebelum mengembangkan rangkaian dengan pembukaan BYD Kota Kemuning di bawah BE Motorworld pada September 2024.

Selain berfungsi sebagai pusat jualan automotif, BYD Rawang turut memperkenalkan inisiatif komuniti bagi menyokong bakat seni tempatan.

Menerusi ruang pameran khas di dalam bilik pameran, artis baharu berpeluang mempamerkan dan menjual karya seni mereka, sekali gus meningkatkan pendedahan kepada bakat kreatif tempatan.

Karyawan terpilih akan mempamerkan hasil seni mereka di BYD Rawang untuk tempoh tiga bulan dengan pameran diperbaharui setiap suku tahun, bagi memastikan pengalaman dinamik dan berbeza buat pengunjung.

Garis panduan penyertaan dan syarat kelayakan akan diumumkan menerusi saluran media sosial rasmi BYD Rawang, dengan semua permohonan akan disemak dan karyawan yang disenarai pendek dimaklumkan secara langsung.

Bagi menyokong komuniti seni, semua karya dipamerkan boleh dibeli dan karyawan yang mengambil bahagian akan menerima 100 peratus hasil jualan tanpa sebarang komisen.

Pengarah Urusan BE Group, Andrew Tay berkata, pembukaan BYD Rawang adalah pencapaian penting bagi kumpulan itu ketika berkembang daripada cawangan pertama di Setia Alam kepada Kota Kemuning dan kini Rawang.

“Keutamaan kami adalah mewujudkan bilik pameran yang mesra, tempat pelanggan boleh meneroka kenderaan elektrik BYD serta menerima perhatian dan sokongan yang diperlukan.

“Pada masa sama, kami mahu cawangan ini turut menyumbang kepada komuniti setempat. Dengan menyediakan platform kepada artis tempatan untuk mempamerkan dan menjual karya mereka, kami berharap dapat menyokong bakat tempatan sambil mewujudkan pengalaman tersendiri buat pelanggan,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden BYD Co Ltd dan Pengurus Besar Bahagian Jualan Auto BYD Asia Pasifik, Liu Xueliang berkata, Malaysia adalah pasaran penting bagi BYD dan pertumbuhan syarikat di sini berlandaskan kerjasama tempatan yang kukuh serta komitmen jangka panjang terhadap komuniti.

“Walaupun usaha meluaskan capaian mobiliti elektrik kekal menjadi keutamaan, kami juga bertekad mewujudkan ruang yang mencerminkan watak dan aspirasi komuniti di sekeliling kami.

“BYD Rawang membuktikan pendekatan ini yang menggabungkan inovasi, reka bentuk dan ekspresi seni di bawah satu bumbung,” katanya.

Pengarah Urusan BYD Sime Motors, Adeline Lew pula berkata, pembukaan BYD Rawang mencerminkan komitmen berterusan syarikat memperkukuh kehadiran runcit BYD dan menjadikan mobiliti elektrik lebih mudah diakses pelanggan di seluruh negara.

“Rakan pengedar memainkan peranan penting dalam mendekatkan jenama BYD kepada komuniti setempat dan kami berbesar hati mengukuhkan kerjasama dengan BE Group menerusi pembukaan cawangan ketiganya,” katanya.

Bagi meraikan pembukaan itu, BYD Rawang akan menganjurkan rumah terbuka dari 19 hingga 30 Oktober 2026 yang menampilkan pandu uji, tawaran eksklusif sepanjang tempoh pelancaran bagi model terpilih dan cabutan bertuah bagi pelanggan yang membuat tempahan.

Di seluruh Malaysia, BYD Sime Motors kini mempunyai 45 cawangan jualan dan pemasaran, 33 kemudahan lepas jualan serta 16 pusat baik pulih badan dan cat kenderaan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here