
BYD Malaysia memperluas program tanggungjawab sosial korporatnya Light the Change kepada usaha pemuliharaan pesisir pantai menerusi Fasa 2, dengan penanaman 380 pokok bakau di Kampung Kebudayaan Mah Meri (MMCV), dekat Pulau Carey.
Inisiatif itu dilaksanakan bersama Denza Malaysia dan MMCV, dengan tumpuan kepada pemulihan ekosistem pesisir serta kelestarian jangka panjang komuniti Orang Asli Mah Meri.
Antara spesies bakau tempatan yang ditanam termasuk Bakau Kurap, Nyireh dan Nipah.
Program Light the Change’ sebelum ini memperoleh lebih 1,200 ikrar penanaman pokok secara digital semasa festival anjurannya tahun lalu.

Pada awal tahun ini, BYD Malaysia turut menanam 120 pokok daripada 10 spesies tempatan di The Waterfront @ ParkCity.
Dengan penambahan di Pulau Carey, jumlah keseluruhan pokok yang ditanam menerusi program ini kini mencecah 500 pokok di dua lokasi.
Projek di Pulau Carey turut menyerlahkan hubungan erat komuniti Mah Meri dengan alam sekitar. Hutan, sungai dan kawasan bakau telah lama menjadi asas kepada cara hidup, budaya dan warisan masyarakat itu.

Aktiviti penanaman disertai Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma; Pengarah Urusan Sime Motors Asia Tenggara, Jeffrey Gan; Pengarah Urusan BYD Sime Motors, Adeline Lew, kakitangan, rakan peniaga serta pelajar sukarelawan SMK Telok Panglima Garang bersama pasukan MMCV diketuai Pengarahnya, Rashid Esa.
Peserta turut didedahkan kepada tradisi Mah Meri melalui aktiviti seperti tarian Topeng, ukiran kayu, pembuatan atap, kemahiran memburu tradisional, pakaian adat dan upacara perkahwinan.
Pokok-pokok yang ditanam akan dipantau dan diselenggara secara berterusan sebagai sebahagian daripada usaha pemuliharaan jangka panjang.
BYD Malaysia memaklumkan program Light the Change akan diteruskan dengan lebih banyak inisiatif melibatkan biodiversiti, pemulihan ekosistem dan penglibatan komuniti selaras dengan komitmen syarikat terhadap kelestarian alam semula jadi di Malaysia.































