Utama Berita Automotif Volkswagen ID. Polo GTI Clubsport Concept, EV kompak berprestasi boleh pecut 240km/j

Volkswagen ID. Polo GTI Clubsport Concept, EV kompak berprestasi boleh pecut 240km/j

3

Volkswagen memperkenalkan ID. Polo GTI Clubsport Concept, sebuah kereta konsep elektrik berprestasi tinggi yang dibangunkan dengan tumpuan terhadap penggunaan di litar perlumbaan.

Diperkenalkan sempena ulang tahun ke-50 GTI, model ini menunjukkan bagaimana konsep Clubsport yang mengutamakan prestasi maksimum boleh diterapkan dalam era mobiliti elektrik.

Dengan kuasa 270 kW (367 PS), model ini mampu memecut dari 0 hingga 100km/j dalam masa 4.7 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 240km/j.

Volkswagen turut melengkapkannya dengan sistem brek seramik baharu, selain beberapa perubahan pada casis dan sistem pacuan untuk meningkatkan keupayaan di litar.

Prestasi motor elektrik APP550

ID. Polo GTI Clubsport Concept menggunakan motor elektrik APP550 yang menghasilkan kuasa 270 kW (367 PS) dan tork 550Nm.

Motor ini sebenarnya dibangunkan untuk dipasang pada bahagian belakang model lebih besar seperti ID. Tiguan dan ID.7.

Bagaimanapun, Volkswagen berjaya memasangnya pada ID. Polo dalam konfigurasi pacuan roda hadapan bersama kunci pembezaan hadapan elektronik.

Sebagai perbandingan, ID. Polo GTI versi produksi yang menjadi asas kepada konsep ini menghasilkan kuasa 166 kW (226 PS).

Ini bermakna versi Clubsport mempunyai tambahan kuasa 104 kW (141 PS).

Kuasa disalurkan ke roda hadapan dan dikawal menggunakan kunci pembezaan hadapan elektronik VAQ.

Sistem Launch Control pula membolehkan kereta ini memecut dari 0 hingga 100km/j dalam masa 4.7 saat.

Sistem elektrik turut disesuaikan dengan keperluan prestasi tinggi.

Bateri voltan tinggi berkapasiti 52kWj mampu membekalkan kuasa sehingga 290 kW untuk tempoh singkat, sekali gus membolehkan kelajuan maksimum 240km/j.

Sistem kawalan casis adaptif DCC turut ditala khusus untuk litar lumba bagi memastikan pengendalian lebih tepat dan cengkaman tinggi bersama kunci pembeza hadapan.

Sistem brek seramik baharu yang menggunakan konfigurasi one-box brake system turut dipasang bagi memenuhi keperluan prestasi model ini.

Reka bentuk dua pintu dan komponen aerodinamik

ID. Polo GTI Clubsport Concept mengekalkan asas reka bentuk ID. Polo GTI versi produksi tetapi menerima beberapa perubahan untuk menonjolkan karakter permotoran.

Antara perbezaan utama ialah penggunaan badan dua pintu berbanding empat pintu, selain bahagian fender yang dilebarkan sebanyak 50mm pada setiap sisi.

Bahagian hadapan dilengkapi splitter besar berinspirasikan sukan permotoran.

Bahagian belakang menerima badan lebih lebar, diffuser baharu dan sayap belakang daripada gentian karbon yang menonjol melepasi garis bumbung.

Gabungan komponen ini menghasilkan penampilan lebih agresif dan membantu menghasilkan daya mendap maksimum ketika kereta dipandu laju di litar.

Dua tempat duduk berorientasikan perlumbaan

Bahagian dalaman turut diubah dengan tumpuan sepenuhnya terhadap ergonomik dan pemanduan di litar.

Volkswagen hanya mengekalkan susun atur asas kokpit daripada model produksi.

Sistem maklumat hibur tidak disediakan kerana konsep ini dibangunkan khusus untuk pengalaman pemanduan.

Pemandu dan penumpang hadapan ditempatkan pada kerusi bucket perlumbaan Recaro yang dilengkapi tali pinggang keselamatan lima sudut berwarna merah.

Tempat duduk belakang dan ruang bagasi pula dikosongkan sepenuhnya.

Sebagai ganti, sebuah palang keselamatan berwarna Tornado Red dipasang di bahagian atas dan belakang kerusi hadapan.

Papan pemuka, kemasan sisi dan beberapa bahagian lain menggunakan fabrik mikrofiber ArtVelours berwarna gelap dengan jahitan merah.

Volkswagen turut melibatkan pelatihnya dalam pembinaan kereta konsep ini.

Mereka bekerjasama dengan bahagian Pembangunan dan pereka dalam menghasilkan beberapa perincian dalaman dengan tahap kemasan yang teliti.

Platform MEB+ dan evolusi GTI elektrik

ID. Polo GTI Clubsport Concept dibangunkan berasaskan platform pacuan elektrik modular MEB+ dengan konfigurasi pacuan roda hadapan.

Volkswagen menggunakan susun atur teknikal asas model produksi sebelum meningkatkannya ke tahap prestasi lebih tinggi menerusi motor elektrik yang lebih berkuasa.

Menurut Volkswagen, gabungan platform MEB+, pacuan roda hadapan dan motor APP550 menunjukkan satu daripada kemungkinan evolusi DNA GTI pada masa hadapan.

Volkswagen turut mengetengahkan Mission Efficiency, sebuah lagi kereta konsep berasaskan ID. Polo yang dibangunkan dengan fokus terhadap kecekapan tenaga.

Model itu mencatatkan empat rekod dunia sebagai kenderaan elektrik hampir produksi.

Kedua-dua kereta konsep tersebut menunjukkan potensi sistem pacuan elektrik Volkswagen dalam dua aspek berbeza, iaitu prestasi tinggi dan kecekapan tenaga.

50 tahun kejayaan GTI

Tahun 2026 menjadi tahun penting bagi Volkswagen GTI yang meraikan ulang tahun ke-50 sejak diperkenalkan.

ID. Polo GTI Clubsport Concept merupakan model GTI baharu keempat yang diperkenalkan tahun ini selepas Golf GTI EDITION 50, ID.3 GTI dan ID. Polo GTI.

ID.3 GTI dijadualkan mula dijual pada awal 2027, manakala ID. Polo GTI sudah boleh ditempah sejak Oktober 2026.

Keluarga model GTI telah mencatatkan jualan lebih 2.5 juta unit di seluruh dunia sepanjang tempoh 50 tahun.

Angka itu menjadikannya antara keluarga kereta sport kompak paling berjaya di peringkat global.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here