
Volkswagen melancarkan model baharu ID.3 GTI, merangkap model elektrik kedua yang mengguna pakai lencana ikonik GTI.
Ia juga merupakan model GTI pertama dalam sejarah VW yang menggunakan sistem pacuan roda belakang.
VW ID.3 GTI membawakan identiti tersendiri seperti jalur merah GTI merentasi lampu LED matriks IQ.Light, jeriji sarang lebah hitam berkilat, warna Tornado Red, serta rim hitam Wothersee 20 inci.
Berbeza dengan versi GTX, GTI ini mengekalkan warna badan pada bahagian bumbung, spoiler dan panel belakang.
ID.3 GTI ini dipacu motor elektrik tunggal 322 hp, sekali gus merangkap GTI paling berkuasa pernah dihasilkan.
Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 5.6 saat, sedikit perlahan jika dibandingkan dengan Golf GTI Edition 50 (5.3 saat).
Pek bateri 79 kWh menawarkan jarak pandu WLTP sejauh 601 km, selain menyokong pengecasan DC sehingga 183 kW (10-80% dalam 29 minit).
Selain kosmetik GTI, ID.3 GTi turut menerima talaan khusus seperti penggunaan peredam adaptif DCC, diikuti spring dan bar anti-oleng.
Mod pemanduan GTI yang diaktifkan pada roda stereng itu mengubah respons motor, pendikit, stereng dan casis menjadi lebih sporti.
Ruang kabin mendapat ciri seperti stereng dengan penanda pukul 12, tempat duduk jenis bucket merah-hitam-kelabu, serta gugusan butang fizikal dan bahan kemasan lebih premium.
Buat masa ini, VW masih belum mendedahkan harga jualan sebenar ID.3 GTI.
Sebagai rujukan, GTX Performance terdahulu dijual pada harga sekitar £46,000 (RM251 ribu), menjadikannya jauh lebih mahal berbanding Golf GTi dan Golf R.


































