
CFMOTO Malaysia rasmi memperkenalkan CFMOTO 500SR ke pasaran tempatan sempena PETRONAS Grand Prix of Malaysia hujung minggu lalu.
Ditawarkan pada harga RM29,988 seunit, CFMOTO 500SR ditawarkan dalam dua pilihan warna badan iaitu Galaxy Gray dan Nebula White.
Jentera itu dijana oleh enjin 500cc empat silinder sebaris, DOHC dan penyejukan cecair berkuasa 58kW @ 12,500rpm dan tambahan 61 kW ketika sistem RAM AIR berfungsi.
Enjin berkenaan turut menjana tork maksimum 49Nm @ 10,000rpm dan dilengkapi sistem suntikan bahan api elektronik BOSCH bagi menyokong hantaran kuasa yang lancar serta responsif.
Selain itu, enjin CFMOTO 500SR turut dilengkapi dengan sistem pengambilan udara berkelajuan tinggi RAM AIR, silinder aluminium, omboh dan aci engkol tempa, rod penyambung jenis fracture-split serta sistem pemasaan BorgWarner.

Dari segi reka bentuk, sportbike berkenaan menampilkan penggayaan agresif menerusi panel badan penuh dengan garisan sporty, bahagian belakang yang kompak dan aerodinamik serta posisi ekzos tinggi dengan kemasan bersudut.
Bagi memastikan pengendalian yang mantap, motosikal itu menggunakan rangka tiub keluli kromium-molibdenum 20 CrMo serta fork hadapan jenis terbalik berdiameter 41 mm yang boleh dilaras melalui 30 tahap prabeban dan 16 tahap lantunan.
Suspensi belakang jenis multi-link turut didatangkan dengan pelarasan prabeban dan lantunan bersama jarak gerak 120 mm di hadapan dan 130 mm di belakang.
Kemudian ia disokong dengan rim aloi aluminium dengan tayar CST S3N bersaiz 120/70 R17 di hadapan dan 160/60 R17 di belakang.
Keselamatan menghentikan mahupun memperlahankan jentera diserahkan kepada cakera berkembar 300 mm di hadapan dengan angkup NISSIN empat omboh serta cakera tunggal 220 mm di belakang dengan angkup jenis terapung.
Bagi meningkatkan keselamatan ketika tunggangan, CFMOTO 500SR dilengkapi Sistem Brek Anti Kunci (ABS) dua saluran dengan mod Supermoto, sistem kawalan cengkaman (TCS) dengan dua tahap pelarasan serta pilihan untuk dinyahaktifkan, penyerap hentak stereng boleh laras 24 tahap dan sistem isyarat berhenti kecemasan (ESS).
Di samping itu, ciri peralatan lain yang ditawarkan termasuklah skrin TFT berwarna bersaiz 6.2 inci dengan fungsi MotoPlay, tangki bahan api 15.5 liter, sistem pencahayaan jenis LED, port pengecasan USB jenis A dan C dengan output 18watt, quickshifter, hendal dengan fungsi pemanas serta sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).
Model ini turut menggunakan klac plat berbilang jenis basah dengan fungsi slipper clutch dan memenuhi piawaian emisi Euro 5+.
CFMOTO 500SR ditawarkan dengan waranti selama 2 tahun atau perbatuan sehingga 20,000km (yang mana terdahulu).
Sekiranya perbatuan melebihi 20,000 km dalam tempoh 2 tahun tersebut, komponen enjin kekal dilindungi di bawah waranti perbatuan tanpa had bagi baki tempoh waranti yang ada.




