
Mforce Bike Holdings menyerahkan enam unit motosikal kepada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tujuan Program Proof of Concept (PoC), pada Isnin.
Ketua Pegawai Operasi Mforce Bike, Asri Ahmad menyerahkan dua unit bagi setiap model CFMOTO 1250TR-G, BRIXTON K750GT dan MOTO MORINI X-CAPE 1200 yang menyediakan pilihan platform motosikal yang berbeza untuk dinilai.
Jelasnya, CFMOTO 1250TR-G dan BRIXTON K750GT diketengahkan sebagai motosikal pengiring berkuasa tinggi, manakala MOTO MORINI X-CAPE 1200 merupakan motosikal dwi kegunaan yang turut menjalani penilaian dalam program ini.
Asri Ahmad berkata program yang berlangsung selama tiga bulan itu memberi peluang kepada JSPT untuk menguji dan menilai kesesuaian ketiga-tiga model berdasarkan keperluan penugasan pihak polis.
“Maklum balas sepanjang tempoh penilaian akan menjadi asas kepada proses penambahbaikan sebelum langkah seterusnya dipertimbangkan.
“Bagi Mforce, pelaksanaan PoC ini merupakan langkah penting dalam membangunkan penyelesaian mobiliti yang bersesuaian dengan keperluan agensi penguatkuasaan,” jelasnya.





























