Utama Berita Automotif Bos Chery: 90 peratus jenama China sebenarnya rugi, bakal pupus

Bos Chery: 90 peratus jenama China sebenarnya rugi, bakal pupus

4

Presiden Chery International, Zhang Guibing menganggarkan sekitar 90 peratus pengeluar kenderaan dari China kini mengalami kerugian dan beliau memberi amaran bahawa kos pembangunan dan penyelidikan (R&D) yang kian meningkat bakal membuatkan lebih banyak syarikat gulung tikar.

Beliau menjawab sedemikian ketika sesi bersama media Australia di China yang menyoal tentang bilangan pengeluar kenderaan yang mampu bertahan dalam persaingan ketat dan keyakinan bahawa jenama-jenama baharu itu masih akan wujud dalam tempoh lima hingga 10 tahun mendatang. 

“Sebahagian besar pengeluar kereta China tersenarai di pasaran saham dan menerbitkan laporan kewangan. Berdasarkan laporan-laporan tersebut, saya berpendapat kebanyakan daripada mereka mungkin sekitar 90 peratus sedang mengalami kerugian. 

“Terlalu banyak syarikat, pastinya kemudian nanti akan ‘mati’ dan hilang dari pasaran,” jelasnya.

Kebimbangan beliau turut merangkumi perbelanjaan R&D yang diperlukan untuk memastikan kenderaan baharu kekal bersaing.

“Daripada satu sudut lain, apabila anda membangunkan kereta berteknologi baharu masa kini, pelaburan R&D adalah jauh lebih tinggi berbanding dahulu. 

“Kerana teknologi masa kini..jika dahulu ia lebih kepada aspek mekanikal, kini terlalu banyak pembangunan teknologi baharu terlibat. Jadi pelaburannya jauh lebih tinggi daripada sebelum ini. Satu pihak, semakin banyak syarikat rugi, tetapi di satu pihak lagi pelaburan yang diperlukan menjadi semakin tinggi,” kongsinya. 

Dapatan Kajian Bebas & Tekanan Pasaran

Kajian bebas turut menunjukkan kerugian yang meluas dalam kalangan pengeluar kenderaan elektrik (EV) di China.

Firma perunding AlixPartners melaporkan dalam kajian Global Automotive Outlook bagi Jun 2026 bahawa hanya tiga daripada 30 pengeluar China yang memfokuskan kenderaan tenaga baharu (NEV) berjaya mencatatkan keuntungan tahunan penuh pada 2025.

Kategori tersebut merangkumi bukan sahaja EV, tetapi juga kenderaan elektrik julat lanjutan (EREV) dan plug in hibrid (PHEV).

AlixPartners meramalkan hanya tujuh daripada 30 pengeluar berkenaan yang akan mencapai balik modal menjelang tahun 2030, manakala syarikat yang lebih lemah dijangka meninggalkan pasaran atau menjadi sasaran pengambilalihan.

Kajian itu juga mengenalpasti kapasiti pengeluaran yang berlebihan dan kilang yang tidak dimanfaatkan sepenuhnya sebagai punca tekanan kewangan, terutamanya bagi pengeluar berskala kecil.

Menurut laporan daripada Sohu awal tahun ini, margin keuntungan industri automotif China merosot kepada 3.2 peratus dalam tempoh tiga bulan pertama 2026, tatkala pengeluar kenderaan turut berdepan masalah kapasiti pengeluaran berlebihan.

Tahun lalu, China mengeluarkan sekitar 35 juta kenderaan baharu namun kapasiti pengeluaran tahunannya dianggarkan mencecah kira-kira 55 juta unit.

Prestasi Kewangan Chery

Meskipun Chery Automobile kekal berada dalam kelompok syarikat yang mencatatkan keuntungan namun tidak terlepas daripada impak tekanan kos R&D yang meningkat. 

Berdasarkan laporan kewangan separuh pertama 2026 yang diterbitkan di Bursa Hong Kong:

  • Keuntungan Bersih: Merekodkan CNY 9.02 bilion (susut 9% berbanding tempoh sama tahun lalu akibat kerugian pertukaran mata wang asing).

  • Perbelanjaan R&D: Melonjak 28.3 peratus mencapai CNY 6.67 bilion (RM4.1 bilion) susulan pecutan aktiviti pembangunan teknologi baharu serta kos tenaga pakar.

Arah tuju industri automotif China kini menyaksikan proses ‘pembersihan pasaran’ yang mana hanya jenama yang mempunyai dana kukuh, teknologi proprietary, serta rangkaian eksport global yang mantap mampu bertahan daripada gelombang penggulungan tikar.

 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here