
Alasan menggunakan kenderaan majikan tanpa mengetahui status cukai jalan dan insurans tidak menghalang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Sungai Petani menyita XPeng G6 755 Pro RWD Long Range di KM2, Jalan Permatang Gedong–Jalan Taman Keladi, Sungai Petani, Rabu lalu.
Menurut kenyataan pada Ahad, operasi sekatan jalan raya oleh anggota penguat kuasa JPJ itu mendapati Lesen Kenderaan Motor (LKM) kereta elektrik berkenaan telah tamat tempoh selain tidak mempunyai perlindungan insurans yang sah.
“Pemandu memaklumkan bahawa kenderaan milik majikannya itu digunakan untuk perjalanan pergi dan balik kerja antara Sungai Petani, Kedah dengan Seberang Jaya, Pulau Pinang selain mendakwa tidak mengetahui status LKM dan insurans tersebut.
“Susulan kesalahan yang dikesan, notis saman P22 telah dikeluarkan dan kenderaan disita di bawah Seksyen 64(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 sebelum dibawa ke Depoh Sita JPJ Cawangan Sungai Petani untuk tindakan lanjut,” jelasnya.
Pihak JPJ sekali lagi menegaskan bahawa setiap pemilik, majikan, mahupun pemandu individu bertanggungjawab sepenuhnya untuk menyemak dan memastikan dokumen asas seperti LKM serta perlindungan insurans sentiasa diperbaharui dan sah sebelum mengendalikan sebarang jenis kenderaan di jalan raya.
Langkah penguatkuasaan tanpa kompromi ini diteruskan secara berterusan demi menjamin keselamatan serta pematuhan undang-undang jalan raya tanpa mengira status, jenama, mahupun nilai sesebuah kenderaan.





























