Utama Berita Automotif KTM Malaysia lancar empat model flagship serentak

KTM Malaysia lancar empat model flagship serentak

6

KTM Malaysia membuat kejutan besar apabila melancarkan empat model flagship generasi baharu secara serentak, merangkumi segmen supersport dan adventure premium.

Keempat-empat model berprestasi tinggi itu dibawa masuk oleh Eurotech Group, selaku pengimport dan pengedar rasmi jenama KTM di Malaysia.

Barisan diperkenalkan terdiri daripada:

  • KTM 990 RC R
  • KTM 1390 Super Adventure S
  • KTM 1390 Super Adventure R
  • KTM 1390 Super Adventure S Evo (varian paling premium) 

Dari segi harga, KTM 990 RC R ditawarkan pada harga asas RM113,000, manakala 1390 Super Adventure S bermula RM144,000.

Bagi versi lasak, 1390 Super Adventure R dijual pada RM146,500, sementara model tertinggi S Evo berharga RM153,000.

Semua harga tersebut disertakan dengan jaminan tanpa had perbatuan selama empat tahun.

Ketua Pemasaran dan Pengalaman Pelanggan ETG, Goi Seong Keng berkata, pelancaran ini membuktikan komitmen KTM untuk terus berada di barisan hadapan dari segi prestasi, teknologi dan inovasi, selari dengan falsafah ikonik jenama itu, READY TO RACE. 

Supersport DNA MotoGP – KTM 990 RC R

Tumpuan utama pastinya terarah kepada KTM 990 RC R, sebuah jentera supersport diinspirasikan terus dari jentera MotoGP KTM RC16, namun sah untuk tunggangan di jalan raya.

Jentera ini dijana enjin dua silinder selari LC8c 947cc yang menghasilkan 127.84 PS dan 103 Nm tork.

Aerodinamiknya dibangunkan menerusi ujian terowong angin lengkap dengan winglet bersepadu yang mampu menghasilkan daya mendap sehingga 14.4 kg pada kelajuan 252 km/j.

Ia dilengkapi:

  • suspensi WP APEX boleh laras sepenuhnya
  • brek Brembo HyPure
  • Cornering ABS empat mod
  • unit pengukuran inersia 6D IMU
  • empat mod tunggangan
  • skrin TFT 8.8 inci

Interval servis juga kini lebih panjang, sehingga 30,000 km untuk kelegaan injap.

Raja Kembara Jarak Jauh – KTM 1390 Super Adventure S & R

Bagi penggemar kembara jarak jauh, KTM 1390 Super Adventure S hadir dengan enjin V-Twin 1,350cc berkuasa 173 PS dan 145 Nm.

Model ini menerima:

  • suspensi separa aktif WP Semi-Active Technology (SAT)
  • cermin angin boleh laras tambahan 15mm
  • lampu LED dengan fungsi lampu selekoh
  • skrin TFT potret dengan navigasi luar talian

Sementara itu, KTM 1390 Super Adventure R pula dibina untuk laluan lebih ekstrem.

Walaupun berkongsi enjin 1,350cc dengan output 175 PS, model ini menggunakan:

  • suspensi WP XPLOR
  • rim jejari tanpa tiub 21-inci depan dan 18-inci belakang
  • tayar adventure agresif
  • cermin angin lebih pendek

 

Menariknya, kedua-dua varian ini kini menawarkan interval penyelenggaraan kelegaan injap sehingga 60,000 km, dua kali ganda lebih lama berbanding generasi sebelumnya.

Paling Canggih – KTM 1390 Super Adventure S Evo

Menjadi kemuncak rangkaian, KTM 1390 Super Adventure S Evo tampil dengan teknologi paling canggih pernah ditawarkan KTM.

Selain enjin 173 PS yang sama, ia menjadi model pertama KTM yang dilengkapi:

  • Transmisi Manual Automatik (AMT) yang menguruskan klac secara automatik ketika bergerak, berhenti dan menukar gear

Penunggang boleh memilih sama ada menukar gear secara manual atau membiarkan sistem automatik sepenuhnya.

Model ini juga dilengkapi:

  • radar hadapan generasi kelima Bosch
  • Adaptive Cruise Control (ACC) sebagai ciri standard

Kesemua model dalam keluarga 1390 kini menggunakan enjin baharu 1,350cc berbanding 1,301cc sebelum ini, dan dibangunkan sepenuhnya di Austria.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here