
Dugaan penyalahgunaan identiti peribadi untuk menghindari cukai kenderaan mewah terbongkar di Kota Tangerang, Banten, Indonesia apabila seorang mekanik bengkel menjadi korban kecurian data.
Nama Yudariansyah alias Yuda muncul dalam data pentadbiran kenderaan sebagai pemilik McLaren 570S bernilai IDR 4.5 bilion (RM1.24 juta) dengan tunggakan cukai sehingga IDR137.4 juta (RM38,000).
Kes tersebut terbongkar apabila pegawai Unit Pelaksana Teknik Daerah Sistem Administrasi Manunggal Satu Atap (UPTD Samsat) Ciledug menjalankan pemeriksaan secara terus terhadap tunggakan pembayar cukai kenderaan bermotor.
Mekanik bengkel yang menetap di Kecamatan Pinang, Kota Tangerang itu menegaskan tidak pernah membeli mahupun memiliki supercar mewah tersebut.
Perbezaan ketara antara data pemilikan kenderaan dan taraf kehidupan Yuda memunculkan andaian bahawa identitinya telah digunakan oleh pihak lain tanpa kebenaran.
Yudariansyah mengaku amat terkejut apabila mendapat tahu namanya tercatat sebagai pemilik McLaren 570S keluaran 2019.
Berdasarkan data pentadbiran kenderaan dan percukaian, kereta tersebut mempunyai tunggakan cukai sebanyak IDR 137,471,000 bagi tempoh setahun.
Dia berkongsi pertama kali menerima maklumat tagihan menerusi mesej WhatsApp daripada jiran yang memberitahu kedatangan pegawai Samsat ke rumahnya.
“Saya terkejut bila dapat Whatsapp daripada jiran bagi tahu ada orang Samsat nak tagih cukai sebab ada mobil sport, saya bingung mobil sport datang dari mana,” katanya.
Yuda yang bekerja sebagai mekanik bengkel motosikal mengaku tidak berkemampuan untuk membeli kenderaan mewah berharga bilion rupiah.
Disebabkan itu, beliau mengesyaki Nombor Induk Kependudukan (NIK) atau identiti peribadinya telah digunakan oleh orang lain tanpa pengetahuannya.
Dia bimbang penyalahgunaan identiti itu boleh menimbulkan masalah susulan terutama berkaitan rekod kewangan, urusan perbankan sehinggalah pendaftaran bantuan sosial berdasarkan taraf kesejahteraan.
“Saya nak nama saya bersih balik, tak nak ada cacat (rekod buruk) sebab itu melibatkan data peribadi harian,” jelasnya.
SYAKI BERMULA DARIPADA PROSES PEMBELIAN KERETA

Pemangku Tugas (Plt) Ketua Samsat Ciledug, Idam Kholid mengesyaki bahawa penyalahgunaan identiti tersebut berkaitan dengan proses pembelian kenderaan menerusi bilik pameran dan syarikat pembiayaan.
Menurut beliau, terdapat kemungkinan identiti mangsa digunakan semasa transaksi pembelian kereta, manakala pemilik kenderaan yang sebenar tidak menggunakan identiti sendiri.
“Kami dah tanya betul atau tidak dia ada mobil sport, yang berkenaan jawab tidak pernah malah dia kata, saya ni kuli, boro-boro nak beli mobil mewah, nak makan pun kena cari duit dulu setiap hari’,” ujarnya.
“Kalau benar begitu bermakna memang ada permainan leasing sewaktu pertama kali beli kereta di showroom guna KTP (kad pengenalan) orang lain,” jelasnya.
Tambahan, ketika mendatangi rumah Yuda petugas terpaksa melalui lorong kediaman yang sempit dan sukar dilalui oleh kenderaan empat roda.
Keadaan persekitaran tempat tinggal tersebut dinilai tidak sepadan dengan profil pemilik kereta sukan bernilai bilion rupiah sebagaimana yang tercatat dalam sistem pentadbiran.
Hasil daripada pertemuan itu, Yuda juga menyatakan tidak pernah menyerahkan mahupun meminjamkan dokumen identiti peribadinya kepada sesiapa untuk tujuan pembelian kenderaan.
Idam turut menduga mekanisme penggunaan identiti dalam transaksi pembelian kenderaan perlu disiasat lebih lanjut bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.





























