Utama Berita Automotif Chery Malaysia mohon maaf, panggil balik Omoda 5 terjejas

Chery Malaysia mohon maaf, panggil balik Omoda 5 terjejas

5

Chery Auto Malaysia menyatakan sedia bekerjasama rapat dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) susulan insiden gandar belakang Chery Omoda 5 yang tercabut di Johor Bahru, minggu lalu.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, pihak syarikat melaksanakan Kempen Panggil Balik OMODA 5 yang terjejas melibatkan varian C dan H untuk menjalani pemeriksaan dan menggantikan komponen terkesan sekiranya perlu.

“Pelanggan boleh menyemak sama ada kenderaan mereka terlibat dengan membuat semakan Nombor Pengenalan Kenderaan (VIN) di laman web Chery Auto Malaysia.

“Pelanggan akan menerima pemeriksaan kenderaan yang menyeluruh serta sebarang tindakan susulan yang diperlukan tanpa sebarang kos,” jelas kenyataan pada Ahad. 

Bagi pelanggan yang masih bimbang digalakkan mengunjungi pusat servis sah Chery untuk mendapatkan bantuan pasukan teknikal bagi pemeriksaan. 

Bagaimanapun, semua model pengeluaran semasa tidak terjejas oleh kempen panggil balik ini.

Chery Auto Malaysia memohon maaf kepada pelanggan yang terkesan dan sebarang pertanyaan berkaitan kempen  boleh menghubungi Chery Careline di talian 03-9388 0888.

JPJ TANGGUH PENDAFTARAN OMODA 5 BAHARU

Sementara itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menggantung sementara Sijil Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) Chery Omoda 5 dan menangguhkan pendaftaran baharu SUV berkenaan.

Tindakan itu diambil sebagai langkah pencegahan awal sehingga siasatan teknikal selesai dan risiko keselamatan kenderaan berkenaan dapat dikenal pasti.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata JPJ juga akan melaksanakan audit teknikal terhadap proses pengeluaran dan pemasangan Omoda 5 serta pembekal komponen gandar.

“Ia merangkumi pematuhan amalan pengilangan yang baik (GMP), sistem kawalan kualiti, prosedur pemeriksaan sambungan kimpalan serta tahap keselamatan komponen yang digunakan.

“Penggantungan itu hanya akan ditarik balik setelah semua tindakan pembetulan dan pencegahan dilaksanakan sepenuhnya serta mendapat pengesahan teknikal daripada JPJ bahawa segala risiko keselamatan telah ditangani dengan sewajarnya,” ujarnya. 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here