
Peugeot memperkenalkan RCZ Vision, sebuah kereta konsep yang menggambarkan hala tuju reka bentuk dan teknologi masa depan jenama itu.
Model ini kesinambungan kepada Peugeot RCZ, sebuah coupé yang dikeluarkan dari 2009 hingga 2015 dan turut dipasarkan di dalam negara.
RCZ Vision mengetengahkan bahasa reka bentuk baharu Peugeot yang dikenali sebagai Feline Future.
Konsep ini menggabungkan reka bentuk futuristik, teknologi elektrik dan pengalaman pemanduan yang lebih intuitif.
Rangkaian Kuasa Elektrik Peugeot RCZ Vision
Peugeot RCZ Vision menggunakan platform STLA One dengan rangkaian kuasa elektrik yang menghasilkan kuasa 500hp.
Sistem ini menggunakan bateri keadaan pepejal yang dibangunkan bersama Factorial Energy dan seni bina elektrik 1,000 volt.
Antara spesifikasi utama Peugeot RCZ Vision ialah:
- Kuasa: 500hp
- Jarak gerak: Sehingga 600km
- Penggunaan tenaga: 11.5 kWj/100km
- Seni bina elektrik: 1,000 volt
- Bateri: Bateri keadaan pepejal setebal 110mm
- Masa pengecasan: 10 hingga 80 peratus dalam 10 minit
Peugeot menyatakan bateri keadaan pepejal itu mempunyai ketumpatan tenaga tinggi, sekali gus membolehkan lebih banyak tenaga disimpan dalam ruang yang lebih kecil.
Seni bina 1,000 volt pula membantu mempercepatkan pengecasan.
Teknologi Pemanduan X-by-Wire
Peugeot RCZ Vision tampil dengan teknologi X-by-Wire.
Teknologi ini menggantikan sambungan fizikal tertentu dengan kawalan elektronik bagi meningkatkan ketangkasan dan ketepatan pemanduan.
Sistem Steer-by-Wire tidak memerlukan sambungan mekanikal antara kawalan stereng dengan roda manakala nisbah stereng berubah mengikut kelajuan kenderaan.
Pada kelajuan rendah, pemandu boleh melakukan gerakan dengan lebih mudah tanpa perlu memusingkan stereng berkali-kali.
Pusigan maksimum stereng Hypersquare adalah kurang daripada satu pusingan penuh, berbanding tiga pusingan bagi stereng konvensional.
Pada kelajuan tinggi, nisbah stereng dikurangkan untuk menghasilkan tindak balas yang lebih lancar dan stabil.
Sistem ini juga menapis getaran yang berpunca daripada permukaan jalan.
RCZ Vision turut menjadi model Peugeot pertama yang menggunakan sistem Brake-by-Wire.
Sistem ini menggantikan sambungan hidraulik antara pedal brek dengan brek melalui kawalan elektronik.
Kawalan membrek menjadi lebih tepat selain penyepaduan brek regeneratif.
Model konsep ini turut memperlihatkan keupayaan pemanduan automatik Tahap 2++, termasuk fungsi pemanduan bebas tangan apabila di bandar dan di jalan terbuka.
Reka Bentuk Feline Future
Peugeot RCZ Vision merupakan model pertama yang menampilkan konsep reka bentuk Feline Future, yang akan membentuk gaya model Peugeot pada masa depan.
Konsep ini berasaskan lima prinsip utama, iaitu kebebasan, keberanian, keanggunan, kekuatan dan naluri.
Prinsip tersebut diterjemahkan melalui bentuk badan sasa, permukaan melengkung dan profil rendah.
Bahagian hadapan dan belakang mempunyai bahu badan yang jelas, manakala bahagian sisi menampilkan bentuk badan yang berlekuk.
Kontras antara badan yang lebar dengan kabin kaca yang nipis memberikan penampilan seakan-akan seekor kucing yang bersedia untuk menerkam.
Bahagian hadapan menggunakan lampu LED Thin Lens yang nipis, bersama tiga jalur lampu mendatar menyerupai cakar singa.
Lambang Peugeot bercahaya dan grafik mikroberlubang bertulis RCZ pada bampar turut menjadi sebahagian daripada reka bentuk.
Di bahagian belakang, tiga jalur lampu mendatar menggabungkan semua fungsi pencahayaan.
Spoiler aktif pula tersembunyi ketika kereta tidak bergerak dan terbuka semasa pemanduan untuk membantu kecekapan aerodinamik.
Reka bentuk bumbung kaca berbentuk gelembung dan lengkungan kokpit mengambil inspirasi daripada Peugeot RCZ terdahulu.
Konsep dua bonggol pada bumbung turut diolah untuk mengoptimumkan ruang kepala penumpang belakang.
Bagi mengurangkan penggunaan bahan, aluminium padu pada bahagian lengkungan digantikan dengan cat yang diperbuat daripada aluminium kitar semula.
RCZ Vision menggunakan rim aluminium tempa berukuran 21 inci di hadapan dan 22 inci di belakang.
Reka bentuk jejari yang nipis bertujuan mengurangkan penggunaan bahan, selain mengekalkan ciri ringan sebuah kereta sport.
Peugeot i-Cockpit Baharu
Kabin Peugeot RCZ Vision memperlihatkan evolusi sistem Peugeot i-Cockpit, yang menggabungkan kawalan stereng Hypersquare dengan paparan Micro LED telus.
Paparan di hadapan pemandu diletakkan dalam medan penglihatan supaya maklumat penting dapat dilihat dengan mudah.
Pemandu juga boleh menyesuaikan paparan mengikut keperluan, termasuk mematikan skrin tengah apabila tidak diperlukan.
Skrin tengah terapung digunakan untuk mengakses sistem maklumat hibur dan navigasi.
Kedudukannya yang menegak dan sedikit menghadap pemandu bertujuan memudahkan penggunaan.
Stereng Hypersquare mempunyai empat bukaan yang membolehkan pemandu mengendalikan fungsi utama menggunakan hujung jari tanpa melepaskan tangan.
Rekaan ini mengutamakan maklumat yang diperlukan berbanding penggunaan terlalu banyak skrin.
Kabin Empat Tempat Duduk
Peugeot RCZ Vision mempunyai empat tempat duduk, dengan ruang belakang yang direka untuk memuatkan dua orang dewasa.
Papan pemuka dibentuk mengikut komponen yang ditempatkan di dalamnya bagi mengurangkan ruang yang tidak diperlukan.
Corong penyaman udara juga boleh bergerak dan disembunyikan ke dalam papan pemuka apabila tidak digunakan.
Konsol tengah terapung menggabungkan kawalan fizikal seperti mod pemanduan dan penyaman udara.
Reka bentuk kerusi menggabungkan sokongan sisi dan bahagian belakang yang terbuka bagi mengurangkan berat tanpa menjejaskan keselesaan penumpang.
Kemasan kabin menggunakan Alcantara dan kulit kitar semula dalam warna biru muda.
Peugeot turut menggunakan bahan PELINOVA yang diperbuat daripada lebihan potongan kulit industri barangan kulit.
Bahan ini mengekalkan ciri sentuhan dan bau kulit asli, dengan matlamat mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.
Satu lagi perincian ialah jam pada papan pemuka yang direka oleh pembuat jam Perancis, SERICA.
Jam Parade itu disepadukan pada sokongan paparan tengah, dengan reka bentuk digital sepadan pada skrin.
Peugeot RCZ Vision menggambarkan hala tuju masa depan jenama itu melalui gabungan reka bentuk Feline Future, teknologi elektrik dan sistem kawalan yang lebih intuitif.
Sebagai kereta konsep, model ini turut memperlihatkan teknologi yang dirancang untuk diterapkan pada model Peugeot akan datang.














































