Utama Berita Automotif Peugeot E-T16 Concept, amukan Peugeot dengan kuasa luar biasa 816 hp!

Peugeot E-T16 Concept, amukan Peugeot dengan kuasa luar biasa 816 hp!

8

Peugeot memperkenalkan E-T16 Concept, sebuah kereta konsep elektrik yang meraikan kejayaan model ikonik 205 T16 menjulang Kejuaraan Rali Dunia (WRC) pada 1985 dan 1986.

Model konsep ini turut menandakan ulang tahun ke-40 kejayaan berganda tersebut, selain memberikan gambaran tentang generasi baharu Peugeot E-208.

Dibangunkan bersama Peugeot Sport, E-T16 Concept memperkenalkan bahasa reka bentuk Feline Future dengan gabungan prestasi ekstrem dan teknologi terkini.

Ia menggunakan tiga motor elektrik dengan kuasa keseluruhan 816 hp, menjadikannya model Peugeot paling berkuasa dalam sejarah.

Prestasi 816 HP, Pecutan 2.5 Saat

Rangkaian kuasa E-T16 Concept terdiri daripada satu motor elektrik di hadapan dan dua di belakang.

Gabungan tersebut membolehkan kereta ini memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 2.5 saat, manakala pecutan dari 0 hingga 299 km/j mengambil masa 16 saat.

Sistem Torque Vectoring mengagihkan tork secara masa nyata antara roda belakang serta gandar hadapan dan belakang mengikut keadaan cengkaman.

Pemandu boleh memilih tiga mod pemanduan yang mengubah penghantaran kuasa, pengagihan tork dan tetapan suspensi.

Turut tersedia mod yang boleh disesuaikan sepenuhnya.

Bagi mengendalikan prestasi luar biasa tersebut, E-T16 Concept dilengkapi:

  • Brek: Cakera berukuran 380 mm pada keempat-empat roda.
  • Brek tangan: Sistem hidraulik yang dipasang secara menegak seperti kereta rali.
  • Tayar Michelin: Lebar 275 mm di hadapan dan 315 mm di belakang.

Teknologi Side Cooling yang diadaptasi daripada perlumbaan turut digunakan untuk menyejukkan sel bateri melalui bahagian sisi.

Sistem pengurusan haba ini membolehkan E-T16 melengkapkan tiga pusingan di Nürburgring dalam mod Performance tanpa pengurangan kuasa.

Jarak keseluruhan bagi tiga pusingan tersebut ialah lebih 61 km.

Bateri 85 kWj, Jarak 399 KM

Walaupun mempunyai prestasi ekstrem, E-T16 Concept turut direka untuk kegunaan harian.

Sistem elektrik 800 volt dipadankan dengan bateri 85 kWj yang menawarkan jarak pemanduan sehingga 399 km mengikut kitaran gabungan WLTP.

Bateri litium nikel mangan (NMC) mempunyai ketumpatan tenaga tinggi bagi menyimpan lebih banyak tenaga dalam ruang kompak dengan berat terkawal.

Pengecasan dari 10 hingga 80 peratus pula mengambil masa kurang 15 minit.

Reka Bentuk Baharu Dengan Sentuhan 205 T16

E-T16 Concept memberikan gambaran tentang reka bentuk generasi baharu E-208 menerusi bahasa Feline Future.

Bahagian hadapan dan belakang menampilkan tafsiran baharu lampu tiga cakar Peugeot, kali ini dengan tiga jalur cahaya mendatar yang mengapit lambang bercahaya.

Reka bentuk badan turut menampilkan ruang roda yang menonjol, bonet dengan dua saluran keluar udara besar dan tiga saluran penyejukan pada bampar hadapan.

Sayap belakang saiz besar menyerupai telinga kucing. Bahagian bawah belakang mempunyai penyebar udara berkembar dengan dua bilah aerodinamik boleh laras.

Antara elemen yang mengingatkan kepada 205 T16 ialah warna badan Winchester Matte Grey yang hampir sama dengan warna kelabu asal model tersebut.

Roda berwarna perak dengan riasan sewarna badan, manakala jalur merah bercahaya mengelilingi keseluruhan kereta sebagai rujukan kepada jalur merah pada 205 T16.

Bahagian belakang juga boleh diangkat untuk memperlihatkan dua motor elektrik serta komponen suspensi yang dibangunkan Peugeot Sport.

Sementara itu, ruang yang menempatkan saluran udara di hadapan roda belakang pada 205 T16 kini digunakan untuk port pengecasan dan mekanisme pembukaan pintu.

Dalaman Digital Dengan Hypersquare

Ruang dalam E-T16 Concept tampil dengan Peugeot i-Cockpit generasi baharu.

Versi baharu ini menggabungkan kawalan stereng Hypersquare dengan paparan panoramik HD berukuran 21 inci.

Paparan tersebut menggabungkan paparan instrumen head-up dan skrin sentuh tengah.

Hypersquare menggunakan teknologi steer-by-wire yang diinspirasikan daripada kereta lumba Peugeot 9X8.

Sistem ini turut mempunyai paparan tengah boleh konfigurasi untuk menunjukkan maklumat seperti kelajuan dan masa pusingan.

Dalaman yang sporti ini menggunakan bahan seperti gentian karbon, aluminium anod dan bahan bertekstur jaring.

Kerusi bucket dengan rangka gentian karbon dibalut fabrik tenunan teknikal serta bahan kulit kitar semula PELINOVA.

Jalur merah pada kerusi dan rangka keselamatan berwarna merah pula melengkapkan penampilan dalaman.

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here