
Aveta International Sdn Bhd mengumumkan kerjasama strategik dengan Peugeot Motocycles sekali gus menandakan kemasukan rasmi mootsikal itu ke Malaysia.
Kerjasama strategik tersebut menandakan satu langkah progresif dalam membentuk landskap baharu motosikal premium di Malaysia.
Peugeot Motocycles dan Aveta International bakal melancarkan produk sulungnya pada
suku pertama 2026.
Pengarah Urusan Kumpulan Aveta International, Steven Lim berkata pihaknya berbesar hati menerajui Peugeot Motocycles di Malaysia.

“Jenama ini menepati portfolio kami yang semakin berkembang serta mampu menyerlahkan komitmen Aveta dalam menawarkan pengalaman pemilikan bertaraf dunia.
“Fokus kami jelas bagi memastikan setiap penunggang dapat menikmati reka bentuk dan kejuruteraan premium dari Perancis, disokong oleh penubuhan stor flagship Peugeot Motocycles di lokasi terpilih,” katanya.
Sementara itu, Pengarah APAC Peugeot Motocycles, Judah Immanuel Sangaran berkata Asia merupakan rantau yang signifikan dalam strategi pengembangan jangka panjang jenama dan Malaysia memainkan peranan utama dalam pelan tersebut.
Kehadiran Peugeot Motocycles di Malaysia bakal memperkenalkan pelbagai pilihan premium dan mampu milik kepada pengguna yang mencari gaya praktikal harian dengan piawaian yang konsisten di peringkat global.

Di Malaysia, pengalaman ini akan diperkemas dan disesuaikan dengan keperluan tempatan melalui rangkaian servis Aveta International bagi memenuhi jangkaan dan keperluan penunggang secara efisien.
Ditubuhkan pada tahun 1898, Peugeot Motocycles memiliki lebih 3,000 lokasi jualan di seluruh dunia, termasuk 250 pengedar di Perancis.
Jenama ini menawarkan rangkaian model yang komprehensif, digerakkan oleh tiga hab pengeluaran global. Antaranya model premium Peugeot Metropolis, XP400 dan Pulsion yang dihasilkan di kemudahan Perancis serta skuter moden seperti Django Classic dan Speedfight yang dikeluarkan di China dan Vietnam.































