Utama Berita Automotif Sindiket guna aset TUDM seludup dadah sejak bertahun lalu

Sindiket guna aset TUDM seludup dadah sejak bertahun lalu

5
Gambar hiasan

Sindiket penyeludupan dadah yang mengeksploitasi kemudahan penerbangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Sabah dipercayai sudah beroperasi sejak beberapa tahun lalu, sebelum kegiatan itu terbongkar menerusi risikan polis pada Januari 2026.

Lebih membimbangkan, siasatan turut mendedahkan rangkaian sindiket berkenaan membabitkan 21 transaksi di Tawau dan Labuan melibatkan tiga tan dadah bernilai RM156 juta.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan awal mendapati kegiatan itu bukan baru, sebaliknya melibatkan sindiket besar yang sudah bertapak sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Setakat siasatan ini, walaupun intipan kita bermula Januari 2026, hasil siasatan awal sudah membuka ruang bahawa operasi atau kegiatan ini sudah bermula beberapa tahun kebelakangan, sebelum itu lagi.

“Dan, ia melibatkan satu sindiket besar yang establish (kukuh). Sebahagian daripadanya kita dah tangkap, dah tuduh, dah penjara. Sebahagiannya masih bebas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, pada Khamis.

Menurut Saifuddin, hasil risikan mendapati rangkaian di Tawau merekodkan tujuh transaksi terdahulu membabitkan 1.8 tan dadah bernilai RM93 juta.

Manakala rangkaian di Labuan merekodkan 14 transaksi sejak Ogos 2024 membabitkan 1.2 tan dadah bernilai RM63 juta.

“Kalau untuk sel Tawau, sudah berlaku tujuh transaksi sebelum ini melibatkan 1.8 tan dadah bernilai 93 juta. Manakala sel Labuan pula sudah ada 14 kali transaksi sejak Ogos 2024 sehingga kita gagalkan,” katanya.

Dalam operasi pada 17 dan 19 November lalu, seramai 13 individu ditahan termasuk tujuh pegawai dan anggota TUDM serta enam orang awam.

Polis turut merampas 96.64kg methamphetamine bernilai RM4.83 juta, manakala tiga kenderaan bernilai RM172,062 disita.

Saifuddin berkata, siasatan awal mendapati sindiket mengeksploitasi kemudahan penerbangan tentera melalui individu yang mempunyai akses dan hubungan dengan anggota serta operasi penerbangan TUDM.

Bagaimanapun, ketua sindiket berkenaan masih bebas meskipun identitinya sudah dikenal pasti pihak polis.

“Dan, ketua sindiket masih bebas. Kita dah kenal pasti. Saya yakin dalam masa sedikit masa ini, kita akan berjaya tangkap,” katanya.

Beliau berkata, siasatan diperluaskan bagi mengenal pasti keseluruhan rangkaian sindiket termasuk pembiaya, perancang, pengangkut dan individu yang berperanan sebagai orang tengah.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here