
Kegiatan licik seorang lelaki tempatan menjadi ‘transporter’ penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) terbongkar apabila Honda Accord yang dipandu terbabas ketika cuba melarikan diri daripada dikejar anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kampung Neting, di Tumpat pada Selasa.
Lebih mengejutkan, kereta berkenaan dikesan menggunakan nombor pendaftaran palsu sebelum pemeriksaan lanjut menemui lapan warga Myanmar terdiri daripada empat lelaki dan empat wanita berusia antara 18 hingga 38 tahun yang gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Komander Briged Tenggara, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata kejadian berlaku kira-kira jam 6 pagi ketika anggota Task Force Batalion 7 PGA Kuantan mengesan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan di Jalan Kampung Neting.
Menurut beliau, menyedari kehadiran pasukan serbuan, pemandu berusia 25 tahun itu bertindak memecut laju untuk melarikan diri sebelum terbabas di bahu jalan di Jalan Tali Air Kampung Neting menghala ke Jalan Pak Keral.
“Ketika diarahkan keluar daripada kenderaan, pemandu berkenaan cuba melarikan diri sehingga berlaku pergelutan dengan anggota serbuan dan menyebabkan kecederaan pada lengan kanannya.
“Pemeriksaan lanjut menemui lapan warga Myanmar di bahagian penumpang hadapan dan belakang kenderaan itu,” katanya.

Beliau berkata siasatan awal mendapati pemandu itu mengaku menerima upah RM80 bagi setiap PATI yang dibawa dan menjadikan kegiatan itu sebagai pekerjaan sambilan sejak awal November lalu.
Menurutnya, pemuda itu mengaku sudah tiga kali melakukan penghantaran sejak terbabit dalam kegiatan penyeludupan migran berkenaan.
“Suspek memaklumkan urusan mengambil dan menghantar PATI diselaraskan seorang individu dikenali sebagai Abe Din yang tinggal di Thailand, manakala bayaran selepas selesai tugas akan dikirim kepada tekong laut,” katanya.
Kesemua PATI berkenaan dipercayai memasuki negara ini melalui Pantai Geting dengan bantuan ejen dari Myanmar yang mengenakan bayaran kira-kira RM3,000 seorang termasuk menjanjikan pekerjaan sebagai tukang cuci di Kuala Lumpur.
Mereka kemudian dijadualkan dibawa ke Lubok Jong, Pasir Mas sebelum diserahkan kepada transporter lain untuk perjalanan ke Kuala Lumpur.
“Ujian saringan air kencing terhadap pemandu turut didapati positif dadah jenis methamphetamine.
“Kesemua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk siasatan lanjut,” jelasnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.





























