
Honda memperkenalkan CBR1000RR-R Fireblade SP 2027 dan CBR1000RR-R Fireblade HRC Works Edition (HRC WE) dengan pelbagai penambahbaikan pada bahagian enjin, casis, suspensi, sistem brek dan aerodinamik.
Dibangunkan dengan kepakaran serta pengalaman Honda Racing Corporation (HRC), kedua-dua model menggunakan pendekatan pembangunan yang mengutamakan keperluan jentera perlumbaan sebelum disesuaikan untuk model produksi.
Perubahan Utama 2027
Bagi pembangunan model baharu ini, jurutera R&D Honda bekerjasama dengan pasukan HRC WorldSBK untuk mengenal pasti keperluan jentera perlumbaan terlebih dahulu sebelum pembangunan model produksi dimulakan.
Antara perubahan utama bagi model 2027 termasuk:
- Rangka aluminium baharu dengan keseimbangan ketegaran dan geometri stereng yang dikemas kini.
- Lengan ayun baharu yang lebih ringan.
- Suspensi Öhlins dengan teknologi terkini untuk Fireblade SP.
- Angkup brek hadapan Brembo Hypure empat omboh baharu.
- Pakej aerodinamik baharu hasil kerjasama dengan HRC.
- Sistem Variable Air Funnels dua peringkat untuk meningkatkan prestasi julat pertengahan.
- Sistem pendikit elektronik 2-Motor Throttle By Wire (TBW).
Enjin 1,000cc 218PS
Enjin empat silinder sebaris 1,000cc dengan sistem semi-cam gear train menghasilkan kuasa maksimum 218PS pada 14,000rpm dan tork puncak 114Nm pada 10,500rpm.
Honda memberi tumpuan kepada peningkatan prestasi julat pertengahan, kebolehgunaan enjin dan pengurangan berat keseluruhan.
Antara perubahan enjin termasuk:
- Sistem Variable Air Funnels dua peringkat baharu yang mengekalkan prestasi pada putaran enjin tinggi sambil meningkatkan kuasa pada julat pertengahan.
- Sistem 2-Motor Throttle By Wire (TBW) yang memberikan kawalan terhadap pecutan dan brek enjin.
- Pemasaan aci sesondol baharu serta julat pelarasan cam sprocket yang lebih besar. Mekanisme injap (valve train) dikemas kini.
- Bahagian atas omboh dan kebuk pembakaran dimesin semula bagi meningkatkan nisbah mampatan daripada 13.6:1 kepada 13.8:1.
- Penutup enjin magnesium dan penggunaan pengikat aluminium bagi mengurangkan berat.
- Jarak antara aci utama dan aci lawan transmisi ditambah 3mm kepada 68mm.
- Gear pertama kini mempunyai nisbah 5 peratus lebih tinggi.
- Sistem ekzos menggunakan peredam Akrapovič titanium yang lebih ringan dan kompak.
Penggunaan komponen magnesium dan 35 pengikat aluminium menggantikan komponen keluli sebelum ini.
Langkah itu membantu mengurangkan berat enjin sebanyak 1,099 gram dan tidak termasuk penjimatan berat daripada penggunaan kotak engkol yang lebih ringan.
Casis Baharu
Casis model ini menerima perubahan menyeluruh menerusi penggunaan rangka aluminium jenis diamond baharu yang dihasilkan menggunakan proses Gravity Die Casting (GDC).
Ketegaran lateral rangka dikurangkan sebanyak 20 peratus berbanding reka bentuk terdahulu.
Perubahan itu bertujuan meningkatkan prestasi ketika mengambil selekoh, maklum balas cengkaman dan kestabilan.
Antara perubahan lain termasuk:
- Jarak roda ditambah 5mm kepada 1,450mm.
- Sudut caster dan trail dikemas kini.
- Agihan berat kini 53.3 peratus di hadapan dan 46.7 peratus di belakang.
- Kedudukan pusat aci engkol dinaikkan 5.2mm kepada 432.5mm.
- Lengan ayun aluminium baharu lebih pendek 1.2mm kepada 620.6mm.
- Ketegaran lateral lengan ayun dikurangkan 12 peratus.
- Penggunaan rantai pacuan 520 menggantikan rantai 525 untuk mengurangkan berat.
Bagi Fireblade SP, sistem suspensi menggunakan fork hadapan Öhlins S-EC3.0 (SV) NPX 43mm dan penyerap hentak belakang Öhlins TTX36 S-EC3.0 (SV).
Kedua-duanya menggunakan teknologi Spool Valve dan dikawal menerusi antara muka Öhlins Objective Based Tuning Interface (OBTi).
Sistem ini membolehkan pelarasan suspensi hadapan dan belakang dibuat secara berasingan.
Tiga tetapan pilihan penunggang juga boleh disimpan untuk menyesuaikan suspensi mengikut keadaan cuaca, kehausan tayar dan muatan bahan api.
Paparan TFT turut menyediakan panduan prabeban spring hadapan dan belakang berdasarkan berat penunggang.
Brek Brembo Hypure
Sistem brek hadapan menggunakan angkup Brembo Hypure empat omboh yang beroperasi pada cakera brek baharu berukuran 330mm x 4.5mm.
Sistem ini turut menggunakan silinder induk dan tuil brek Brembo baharu.
Cornering ABS menawarkan tiga mod operasi:
- STANDARD – Dioptimumkan untuk tunggangan jalan raya dengan prestasi membrek yang mengurangkan olengan badan motosikal.
- TRACK – Ditala untuk membrek dari kelajuan lebih tinggi di litar tanpa menghalang roda belakang daripada terangkat.
- RACE – Membolehkan fungsi ABS roda belakang dinyahaktifkan.
Sistem Elektronik
Sistem elektronik dikendalikan oleh unit pengukuran inersia enam paksi (IMU) yang memantau pergerakan dan kedudukan motosikal.
Antara ciri elektronik yang disediakan ialah:
- Honda Selectable Torque Control (HSTC) dengan sembilan tahap pelarasan.
- Power dengan lima tahap pelarasan.
- Engine Brake dengan tiga tahap pelarasan.
- Wheelie Control dengan tiga tahap pelarasan serta pilihan Off.
- Tiga mod tunggangan standard.
- Start Mode empat tahap dengan pilihan had putaran enjin 6,000rpm, 7,000rpm, 8,000rpm dan 9,000rpm.
- Honda Electronic Steering Damper (HESD) tiga tahap.
Semua sistem ini boleh diuruskan menerusi skrin paparan TFT berwarna bersaiz 5 inci dengan suis kawalan empat arah.
Aerodinamik Tanpa Sayap
Pakej aerodinamik baharu dibangunkan bersama HRC dengan mengambil input daripada program perlumbaan MotoGP dan WorldSBK.
Fairing baharu mampu menghasilkan tahap daya mendap yang sama seperti model terdahulu tanpa menggunakan elemen sayap (winglet).
Pada masa sama, kecekapan aerodinamik dipertingkatkan bagi mengurangkan seretan angin dan meningkatkan perlindungan penunggang pada kelajuan tinggi.
Bahagian bawah pelindung badan turut dilengkapi panel sisi aerodinamik baharu yang membantu meningkatkan prestasi ketika mengambil selekoh.
Antara kelengkapan lain termasuk:
-
Lampu utama LED baharu dengan Daytime Running Lights (DRL).
-
Lampu belakang LED kompak dan lebih ringan.
-
Tangki bahan api titanium yang kini terdedah tanpa penutup plastik luaran.
-
Sistem kunci pintar Honda SMART Key.
-
Sistem Emergency Stop Signal (ESS).
Penggunaan tangki titanium tanpa penutup plastik membantu mengurangkan berat sebanyak 1.4kg, sementara kapasiti tangki kekal 16.6 liter.
Ketinggian pelana Fireblade SP turut dinaikkan daripada 831.5mm kepada 843mm bagi mengoptimumkan pusat graviti keseluruhan motosikal dan penunggang.
Honda CBR1000RR-R Fireblade HRC Works Edition
Selain Fireblade SP, Honda turut memperkenalkan CBR1000RR-R Fireblade HRC Works Edition yang menerima spesifikasi lebih khusus untuk kegunaan litar.
Model ini berkongsi kemas kini enjin, rangka dan aerodinamik Fireblade SP.
HRC Works Edition (HRC WE) menggunakan beberapa komponen tambahan untuk memberikan lebih banyak pilihan pelarasan ketika menyediakan motosikal untuk perlumbaan.
Antara perbezaan utama ialah:
- Sistem pelarasan geometri pada batang stereng (steering stem) dan kedudukan pangsi lengan ayun.
- Suspensi mekanikal Öhlins NPX28-30 USD di hadapan dan TTX36 di belakang.
- Angkup brek hadapan Brembo Hypure Sports empat omboh.
- Struktur winglet dua elemen daripada bahan Carbon Fibre Reinforced Polymer (CFRP).
- Pelindung lumpur hadapan CFRP.
- Saluran udara pelana belakang CFRP.
- Konfigurasi pelana tunggal.
- Mekanisme penukaran gear bottom-neutral yang ditawarkan menerusi komponen pilihan HRC.
Pelarasan sudut rake boleh dilakukan menggunakan kolar atas dan bawah pada steering stem.
Kedudukan pangsi lengan ayun juga boleh dilaraskan untuk mengubah ciri anti-jongket ketika memecut dan anti-terangkat ketika membrek.
Suspensi mekanikal Öhlins dibangunkan untuk perlumbaan, manakala angkup brek Brembo Hypure Sports menjimatkan 32 gram berbanding reka bentuk Stylema terdahulu.
Brek itu menawarkan prestasi serta konsistensi membrek lebih baik dalam keadaan perlumbaan.
Sistem winglet CFRP dua elemen menghasilkan daya aerodinamik lebih tinggi berbanding reka bentuk terdahulu.
Permukaan sayap atas mempunyai keluasan 2.4 kali lebih besar.
Pada kelajuan 299km/j, sistem winglet tersebut menghasilkan daya mendap 3.5 kali lebih tinggi berbanding CBR1000RR-R Fireblade standard 2027.
Model HRC WE turut menggunakan konfigurasi pelana tunggal dengan pemijak kaki pembonceng dan pemegangnya dibuang.
Berat kedua-dua model juga berbeza dengan Fireblade SP memiliki 201kg, manakala Fireblade HRC Works Edition lebih ringan pada 200kg.
Warna
Honda menawarkan Fireblade SP dalam dua pilihan warna iaitu Ignition Red dan Mat Ballistic Black Metallic.
Fireblade HRC Works Edition pula hanya ditawarkan dalam warna Ignition Red.
Ciri-Ciri Utama Honda CBR1000RR-R Fireblade SP 2027 dan Fireblade HRC Works Edition
- Enjin: 1,000cc, empat silinder sebaris, DOHC
- Kuasa maksimum: 218PS pada 14,000rpm
- Tork maksimum: 114Nm pada 10,500rpm
- Kapasiti tangki: 16.6 liter
- Kelajuan maksimum: 299km/j
- Ketinggian pelana SP: 843mm
- Ketinggian pelana HRC WE: 847mm
- Berat SP: 201kg
- Berat HRC WE: 200kg
- Suspensi hadapan SP: Öhlins NPX 43mm elektronik
- Suspensi belakang SP: Öhlins TTX36 elektronik
- Suspensi hadapan HRC WE: Öhlins NPX28-30 USD mekanikal
- Suspensi belakang HRC WE: Öhlins TTX36 mekanikal
- Brek hadapan SP: Brembo Hypure empat omboh radial
- Brek hadapan HRC WE: Brembo Hypure Sports empat omboh radial, 32g lebih ringan berbanding reka bentuk Stylema sebelum ini
- Sudut caster dan trail HRC WE: 23.8 darjah dan 99.8mm
- HRC WE dilengkapi sistem pelarasan pada steering stem collar serta kedudukan pangsi lengan ayun.
- Sayap aerodinamik dua elemen daripada bahan gentian karbon (CFRP)
- Komponen CFRP turut digunakan pada pelindung lumpur hadapan dan saluran udara pada bahagian tempat duduk belakang
- Mekanisme penukaran gear bottom-neutral HRC ditawarkan sebagai pilihan
- Konfigurasi pelana tunggal
Honda CBR1000RR-R Fireblade SP 2027
Honda CBR1000RR-R Fireblade HRC Works Edition 2027














































