Utama Berita Automotif Karhutla : 2 helikopter terhempas dalam seminggu

Karhutla : 2 helikopter terhempas dalam seminggu

2

Dua buah helikopter yang digerakkan dalam operasi pemadaman kebakaran hutan dan tanah (karhutla) di wilayah Kalimantan mengalami kecelakaan dalam tempoh seminggu. 

Insiden pertama melibatkan helikopter milik Penerbangan Angkatan Darat (Penerbad) yang terhempas ketika sedang memadamkan karhutla di Taman Nasional Tanjung Puting, Kalimantan Tengah pada Rabu lalu. 

Ketua Dinas Penerangan TNI AD, Brigjen TNI Donny Pramono berkata helikopter berkenaan sebelum itu berlepas dari Kuala Pembuang pada jam 9.55 pagi menuju ke Telaga Pulang untuk melaksanakan misi pemadaman.

“Kemalangan berlaku ketika helikopter sedang melakukan pengambilan air laut untuk operasi ‘water bombing’,” katanya.

Bagaimanapun, Donny menyatakan bahawa pihak mereka masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kemalangan tersebut.

Insiden itu dilaporkan mengakibatkan tiga prajurit TNI AD terkorban manakala lima lagi terselamat. 

Insiden Kedua Libatkan Helikopter Sewa BNPB

Manakala insiden terbaru berlaku pada Ahad melibatkan helikopter jenis Super Puma VH-HGM yang disewa oleh Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB).

Helikopter tersebut terhempas di Sungai Barito, kawasan Desa Tabatan, Kuripan, Daerah Barito Kuala, Kalimantan Selatan ketika sedang melaksanakan operasi pengeboman air karhutla.

Armada bernombor siri (MSN) 2878 itu merupakan helikopter yang berdaftar di bawah pemilikan swasta yang disewa oleh BNPB.

Di Indonesia, armada tersebut kerap menyokong pelbagai misi penanggulangan bencana BNPB, dengan rekod laluan penerbangan merangkumi Banjarmasin, Pontianak, dan Surabaya.

Dua kru helikopter berjaya ditemui dalam keadaan selamat, iaitu Michael John Betterridge (warganegara Australia) dan Hugh Andrew John Page (warganegara New Zealand).

Manakala seorang lagi kru warga negara Indonesia bernama Yayan Supyansuri maut di lokasi kejadian. 

Pihak BNPB menegaskan bahawa operasi menangani karhutla yang melanda beberapa daerah akan tetap diteruskan dengan memperketatkan aspek keselamatan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here